05 August 2015

Judi haram masalah semua kaum, tegas pemimpin muda DAP P.Pinang M.Satees

M. Satees mendedahkan beberapa gambar premis judi haram sekitar Kompleks Megamal Perai yang beliau sendiri rakamkan, pada Mesyuarat Penuh MPSP di sini baru-baru ini.

M. Satees (kiri) sedang diwawancara oleh wartawan akhbar Buletin Mutiara, Zainulfaqar Yaacob di sini baru-baru ini.

Oleh kerana selalu sangat disebut usaha memerangi judi itu adalah tanggungjawab orang Islam sahaja, maka, banyak pihak percaya bahawa kempen gaya hidup sihat seperti itu tidak mungkin disokong oleh komuniti atau pemimpin bukan Melayu.

Bahkan, ada yang percaya bahawa isu berbangkit ini tidak pernah dibincangkan secara terbuka di negeri ini, kononnya atas dalih nak menjaga sensitiviti komuniti bukan Melayu (non-Malaysia) atau bukan Islam (non-Muslim).

Ahli Majlis bagi Majlis Perbadaran Seberang Perai (MPSP), M. Satees, 30, yang ditemubual oleh totojurnalis Zainulfaqar Yaacob baru-baru ini memberi gambaran sebaliknya.

Satees memberitahu, beliau sejak dua tahun lepas lagi konsistan mendesak pihak berwajib untuk memerangi penyalahgunaan premis hiburan untuk aktiviti judi tanpa lesen.

“Isu judi haram ini bukan eksklusif untuk satu kaum sahaja.

“Kalau kita masuk ke pusat judi haram ini, saya dapat lihat ada orang Melayu, ada orang Cina dan ada orang India.

“Yang paling menyedihkan, mereka yang terlibat memang sangat muda, daripada umur semuda 15 tahun hingga melebihi usia 30-an akhirnya ketagih dengan judi haram ini.

“Sebab itu saya berasa isu judi haram ini tidak sensitifpun pada komuniti bukan Islam, sesuatu yang mesti diambil tindakan oleh semua pihak,” jelas Satees di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda, Seberang Jaya.

Peribadi
Satees lahir di Taiping, Perak, tetapi, bermastautin di Pulau Pinang sejak kecil.

Selepas bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Perai, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Inderawasih dan Sekolah Menengah Kebangsaan, beliau sedang melanjutkan pengajian secara jarak jauh dalam bidang undang-undang (Llb), dengan University of London.

Selepas melepaskan jawatan di firma Citibank pada bulan Januari 2008, beliau mengambil keputusan untuk terjun dalam dunia politik serta dilantik menjadi Ahli Majlis MPSP pada bulan Julai 2013.

Anak bongsu daripada enam adik-beradik ini rupa-rupanya masih belum berkahwin.

Tahu tidak tahu, beliaulah yang mencadangkan MPSP untuk menyertai ICLEI (Local Governments For Sustainability) di peringkat dunia, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan pertama di Malaysia.

Satees juga merupakan wakil Malaysia bagi Earth Child Institute, iatu satu pertubuhan antarabangsa yang berpejabat di New York, USA, setelah menjalankan projek perintis "One Child, One Tree" di Seberang Perai.

Beliau adalah perwakilan ECI-Malaysia di Persidangan UNDPI-NGO ke 42 di United Nations, New York, USA, Senator Kerajaan Transnasional Tamil Eelam yang beroperasi dari New York, USA, serta perwakilan dalam 'Conference on Land Grabs of Tamils in Sri Lanka' di Parlimen UK yang dianjurkan oleh British Tamil Forum.

“Prinsip hidup saya, 'mendiamkan diri bukan satu pilihan, bila kerakusan berlaku di depan mata,” kata Satees.

Mesyuarat Penuh MPSP
Satees pada mesyuarat penuh Majlis ke-493 baru-baru ini turut meminta MPSP menjelaskan mengenai mengenai perkara berbangkit ini.

Didedahkan, MPSP dalam tempoh 2013 hingga 2015 meluluskan sebanyak 115 lesen premis hiburan di ketiga-tiga daerah Seberang Perai, yang di dalamnya terdapat mesin simulator.

Itu, tidak termasuk 71 lesen lain untuk premis yang menjalankan aktiviti permaian komputer, dilesenkan di bawah kategori perniagaan am.

Dalam jawapan bertulis kepada Satees, MPSP memaklumkan sebanyak 110 kompaun dikeluarkan kepada pusat hiburan dan kafe berinternet yang didapati melanggar syarat-syarat lesen, dalam tempoh 2013 hingga 2015.

“Memang kekangan itu ada pada kita (MPSP).

“MPSP tidak boleh mengambil tindakan seperti polis. Tetapi, kita (MPSP) boleh untuk pertimbang melakukan penguatkuasaan jika premis terbabit masih beroperasi selepas jam 2.00 pagi.

“Mungkin kita boleh batal lesen (premis) selepas dua tiga kali amaran dikeluarkan oleh MPSP,” jelas Satees lagi.

Kerjasama Polis, MPSP
Satees memberitahu bahawa MPSP wajar mencari jalan supaya ada kerjasama strategik dengan polis serta beberapa pihak berkuasa berwajib yang lain.

“Sekarang, mesin semilator boleh diberikan lesen hiburan kerana pihak polis mengesyorkan mesin semilator itu bukan suatu perjudian haram.

“Itu definisi daripada pihak polis sendiri.

Kalau pihak polis kata, semilator ini tidak boleh diberikan lesen, maka kita (MPSP) boleh batalkan (lesen premis hiburan) serta-merta.

“Masalah mesin semilator ini didifinisikan sebagai hiburan, tetapi mesin semilator ini sebenarnya digunakan untuk perjudian haram.

“Siapa nak main mesin semilator yang kononnya atas maksud hiburan, jika tiada unsur penipuan keuntungan seperti judi,” tanya beliau.

Cabaran
Beliau mengaku, perjuangan memerangi judi haram bersama-sama seorang lagi Ahli Majlis MPSP, P. David Mashel bukanlah kerja mudah.

“Macam di Kompleks Megamal di Perai sahaja, luas sahaja ada lapan (premis judi haram), manakala dalam pasar raya ada lagi tujuh (premis).

“Saya ada dengar bahawa tingkat empat di kompleks itu pun akan dijadikan premis judi haram tidak lama lagi, jika tidak dibendung.

“Bahaya memang bahaya apabila saya bercakap perkara ini dalam mesyuarat penuh MPSP dan di tempat-tempat awam, tetapi ini tanggungjawab sosial bersam untuk rakyat Malaysia di Seberang Perai,” jelas beliau.

Komitmen Putrajaya
Tambah beliau, Kerajaan Pusat di Putrajaya sewajibnya memberikan komitmen secara berterusan dan jujur demi memerangi aktiviti judi haram di negeri ini.

Ini kerana, katanya, keselamatan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat, melalui Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Justeru, beliau menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid yang kini baru dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri melakukan sesuatu untuk membanteras gejala sosial ini.

“Lagipun, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada empat bulan lalu mengadakan Ops. Cantas Khas untuk membanteras judi haram ini, tapi, saya tidak nampak apa-apa kesan pun di Kawasan Dewan Undangan Negeri Perai.

“Datang saja ke Perai saya, saya boleh tunjuk semua premis judi haram ini yang ada mula beroperasi jam 2.30 pagi, di mana generasi belia kita boleh duduk sana (premis judi haram) sampai 24 jam.

“Mereka (pengendali premis judi haram) kata ini semua mesin semilator, luar premis tulis pelajar sekolah dilarang masuk, tetapi yang ramai masuk adalah pelajar sekolah,” tegas beliau.

Harapan
Bagi Satees, Kerajaan Negeri melalui MPSP perlu mempertimbang syor membenarkan operasi premis hiburan berdasarkan populasi penduduk setempat.

“Sebenarnya, pusat hiburan tak perlu banyak-banyak di suatu tempat.

“Pusat hiburan yang benar-benar untuk keluarga perlu sebagai alternatif supaya premis judi haram yang sebenarnya menyumbang pada keretakan rumah tangga juga boleh dibendung.

“Kita (MPSP) mesti mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini, termasuk mempertimbang cadangan untuk menyenaraihitamkan pengendali-pengendali premis judi haram ini, jika ada ruang secara perundangan.

“Bagi saya, selain arak yang dianggap sebagai ibu segala kejahatan, judi pun adalah ibu kepada kejahatan seperti merompak dan sebagainya apabila mereka mulai ketagih.

“Judi haram sudah menjadi masalah kronik di kalangan keluarga-keluarga yang berpendapatan rendah, dan menjadi salah satu punca jenayah-jenayah lain.

“Ini isu yang inklusif untuk semua bangsa, kita tidak boleh kompromi dengan menyebut bahawa ia sekadar hiburan semata-mata.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus