(Dari kiri) Wong Hon Wai, Simon Murali, Ketua Menteri, Lim Hock Seng dan Raja Syarafina Raja Shuib selepas selesai Penghakiman Persetujuan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, George Town pada pagi tadi. |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng pagi ini menarik balik saman fitnah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada bulan Oktober 2012, apabila bekas Ketua Pemuda Umno Negeri, Shaik Hussein Mydin dikatakan bersetuju menarik balik semua tuduhan yang disiarkan di beberapa media sebelum ini.
Penghakiman Persetujuan itu dibuat di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Y.A. Datuk Dato' Nordin Hassan.
Guan Eng dalam kenyataannya berkata, tindak-tanduk Shaik Hussein yang sebelum ini didakwa berniat jahat itu diharap dapat menjadi teladan kepada pemimpin pembangkang Pulau Pinang yang lain.
"Apabila Shaik Hussein Mydin membuat tuduhan atau membuat fitnah bahawa saya telah menerima rasuah, itu sesuatu yang saya tidak boleh biarkan.
"Di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Shaik Hussein Mydin memohon maaf kepada saya...dan tarik balik (kenyataannya) tanpa syarat.
"Itu sebab, kita tidak memohon (tuntutan) kos kerana yang penting adalah membersihkan nama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
"Sebagai Ketua Menteri, tentunya saya ingin memberikan suatu teladan bukan sahaja dicontohi oleh rakan-rakan sejawat saya, tetapi juga kepada rakyat Pulau Pinang," jelas Guan Eng pada sidang media bersama-sama peguamnya, Simon Murali luar Kamar Mahkamah Sivil 5, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.
Tambah Guan Eng, beliau masih belum membuat sebarang pertimbangan muktamad, sama ada mahu mengambil langkah undang-undang atau sebaliknya, ke atas beberapa media yang terbabit menyiarkan kenyataan Shaik Hussein sebelum ini.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai, Raja Syarafina Raja Shuib (Pegawai Undang-undang kepada Ketua Menteri) dan Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) turut sertai sidang media tersebut.
Shaik Hussein pada sidang media berasingan selepas itu bagaimanapun menafikan permohonan maaf, yang dinyatakan oleh Guan Eng di luar mahkamah.
"Tiada permohonan maaf di depan Hakim, ini keputusan yang dibaca dan kita setuju," respons Shaik Hussein yang juga Pengerusi Umno Bahagian Bagan, bersama-sama peguamnya, Simon Tan.
Berdasarkan salinan dokumen Penghakiman Persetujuan yang diedarkan, langsung tidak terdapat terma defendan memohon maaf kepada plaintif.
Defenden bersetuju menarik balik kenyataan yang dibuat pada 5 Oktober 2012.
Kenyataan itu berbunyi, "Dan saya merasakan dan saya tidak menuduh, saya tidak menuduh, saya berasakan bahawa dia telah mengambil rasuah daripada Dental, Kuala Lumpur International Dental Hospital."
Katanya lagi, "To Chief Minister of Penang, please don't waste our time. We are busy untuk menepati janji. Dia busy untuk menipu. Dia memang tipu."
Dokumen Consent Judgement sama turut menyebut plaintif akan menarik balik tuntutannya ke atas defendan.
Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menanggung kos masing-masing, serta tidak akan melanjutkan sebarang tindakan baru pada masa depan, berhubung kes berbangkit tersebut.
Terdahulu, Shaik Hussein pada 5 Oktober 2012 dilaporkan menuduh Guan Eng sebagai korup, dengan melakukan penipuan serta menerima rasuah daripada Pusat Pergigian Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIDC), yang dikaitkan dengan suatu projek pembangunan bercampur di atas sebidang tanah berhampiran Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin.
Guan Eng dalam reaksi spontan memberitahu, kenyataan Shaik Hussein itu tidak berdasarkan fakta kebenaran, serta berniat jahat terhadap dirinya.
Sambil mencanangkan tuduhan berunsur fitnah, Shaik Hussein turut berdalih untuk berdialog secara terbuka dengan Guan Eng untuk mencari kebenaran.
Susulan itu, Guan Eng memohon injuksi demi menghalang Shaik Hussein dan agennya yang lain daripada mengulangi kata-kata fitnah ke atasnya.
Malah, Guan Eng ke Mahkamah Tinggi bersama-sama peguamnya Jagdeep Singh Deo (kini Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) untuk memfailkan saman fitnah tersebut, menuntut saman ganti rugi, kos serta kenyataan terbuka disiarkan di semua media arus perdana.
Selepas memfailkan saman, Guan Eng memberitahu wartawan dalam sidang media di luar mahkamah, jika beliau tidak mengambil tindakan mahkamah, isu ini akan dieksploitasi oleh Barisan Nasional (BN) untuk memburukkan imejnya serta Kerajaan Negeri.
Selepas beberapa kali sesi perbicaraan dalam tempoh hampir tiga tahun, akhirnya kes tersebut diselesaikan secara Penghakiman Persetujuan.
No comments:
Post a Comment