20 August 2015

Guan Eng serah sumbangan, wakil Thailand serah pampasan mangsa bom Bangkok

EKAJIT Kraivichien (dua dari kiri) menyerahkan pampasan kepada Neoh Hock Guan (empat dari kiri), sambil disaksikan oleh Ketua Menteri (tengah), Law Choo Kiang (paling kiri) dan Wong Hon Wai (paling kanan) di sini, petang tadi.
NEOH Kah Loon semasa ditemui pada majlis penghormatan terakhir di sini pada petang tadi, meluahkan perasaan bahawa tidak menyangka adiknya, mendiang Jai Jun serta empat anggota keluarga lain terkorban dek tragedi ledakan bom di Bangkok 17 Ogos lalu.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PUYU - Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng menyampai sumbangan keseluruhan berjumlah RM10,000 kepada semua waris lima warga Pulau Pinang yang terbunuh dalam kejadian ledakan bom di Bangkok pada 17 Ogos lalu.

Manakala, Konsul Jeneral Thailand di Pulau Pinang, Ekajit Kraivichien pula pada majlis sama menyerahkan pampasan dari Kerajaannya,  sebanyak RM45,902.38 (400,000 Baht) kepada setiap keluarga mangsa terbabit.

Mangsa yang cedera dalam serangan itu pula turut mendapat bayaran pampasan maksimum RM11,475.59 (100,000 Baht) bagi menampung kos perubatan dan hospital di negara jiran tersebut.

"Sekali lagi saya ingin merakamkan takziah atas kehilangan besar untuk ahli keluarga yang terkorban dalam tragedi yang mengerikan semua kita.

"Terima kasih juga kepada Kerajaan Thailand atas kerjasama serta pampasan yang disumbangkan," jelas Guan Eng selepas menziarahi kelima-lima mangsa terbabit dalam dua upacara penghormatan terakhir di sini, pada petang tadi.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merakamkan penghargaan kepada Ekajit Khaivichien kerana memansuhkan fi visa untuk anggota keluarga yang mati dan cedera, dengan urusan perubatan di negara tersebut sehinggalah dibawa pula ke tanah air ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato Law Choo Kiang, Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri), Soon Lip Chee (Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi), Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif serta Setiausaha Majlisnya, Sr. Rozali Mohamud, dan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Saodah Nawawi.

Difahamkan,  kelima-lima jenazah didaratkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira jam 11.00 malam semalam, dan tiba di kedua-dua rumah waris masing-masing sekitar jam 3.00 pagi tadi.

Lim Saw Gaik, 49, Lee Tze Siang, 35; Lee Jing Xuan, 4 dan Neoh Jai Jun, 20 antara empat yang disahkan terkorban, manakala, jasad Lim Su See, 52, masih dijejaki hingga kini.

Dua anggota keluarga lain,  Neoh Hock Guan, 55, dan anaknya, Neoh Yee Ling, 33, masing-masing cedera di beberapa bahagian badan.

Sementara itu, Neoh Kah Loon, 26, iaitu abang kandung kepada mendiang Jai Jun memberitahu, beliau tidak menyangka bahawa percutian musim panas ahli keluarganya itu bertukar menjadi tragedi mengerikan.

"Ayah mengambil cuti kerana tak kerja pada Hari Hantu Lapar, ahli keluarga lain sertai percutian kerana nak rai adik saya yang berumur mendapat surat tawaran masuk ke sebuah universiti terkemuka di Taiwan.

"Bukan mudah menerima semua (ketentuan takdir) ini, saya dan ahli keluarga memang memerlukan masa untuk mengenangkannya," jelas Kah Loon kepada wartawan.

Tragedi ledakan bom berhampiran kuil Hindu dekat Bengkok direkodkan meragut 20 nyawa, serta 128 orang cedera.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus