Skip to main content

Transfomers 'beraya' di P.Pinang mulai 10 Julai, sasar 100,000 pengunjung

PHEE Boon Poh merakamkan penghargaan kepada pengusaha Restoran Subaidah yang menaja baucar raya RM100 kepada 150 penerima, pada majlis berbuka puasa di Kampung Manggis di sini, petang tadi.
SUASANA menjelang majlis berbuka puasa di dewan terbuka Taman Selayang Permai di sini, petang tadi.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PUYU - Pameran terbesar beberapa replika robot Transformers seperti 'Optimus Prime' dan 'Bumblebee' yang diadakan secara percuma di Padang Kota selama dua bulan mulai 10 Julai hingga 17 September depan diharap menggamit 100,000 pengunjung ke negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sasaran tersebut boleh dicapai memandangkan penganjuran ekspo terbuka itu diadakan menjelang Hari Raya Aidilfitri, serta serentak dengan berlangsungnya promosi Tahun Melawat Pulau Pinang dan Tahun Melawat Malaysia 2015.

"Kita (Kerajaan Negeri) anjur secara percuma supaya pengunjung yang sedia terbeban oleh kejatuhan nilai mata wang, kos sara hidup yang tinggi, kontroversi isu 1MDB (1Malaysian Developement Berhad) hingga tidak cukup wang untuk berjalan-jalan pada musim perayaan ini, masih boleh membawa anak-anak dan keluarga masuk ke pameran terbuka Tranformers terbesar peringkat Asia di negeri ini.

"Walaupun kita tahu realiti kehidupan rakyat untuk berbelanja makan angin agak susah sekarang, kita harap ekspo ini masih boleh terima 100,000 pengunjung dan pelancong," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan,  selepas berucap pada Jamuan Berbuka Puasa Di Taman Selayang Permai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Lim Hock Seng (ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), serta Tony Phua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Selangor) turut sertai pada majlis majlis tersebut.

Sebelum itu, Phee Boon Poh dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Urusan Syarikat Usahasama Restoran Subaidah, Jahabudin Dato' Abdul Aziz yang menyumbang 150 baucar raya RM100 kepada golongan setempat terpilih.

Beliau turut menggesa golongan terpilih yang layak supaya segera memohon skim Bantuan Orang Tua (BOT) dan Bantuan Kanak-Kanak (BKK), yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Warga emas yang tinggal sebatang kara layak mendapat BOT RM300 tiap-tiap bulan, manakala anak-anak yang dipelihara oleh ibu tunggal layak dapat RM100 BKK bagi tiap-tiap orang dengan jumlah bantuan bulanan maksimum adalah RM450.

"Saya rayu agar mereka yang layak segera memohon, supaya tiada sesiapapun tercicir daripada bantuan 'kasih sayang' yang disediakan oleh Kerajaan Negeri," ujar Boon Poh.