Skip to main content

TKPM RM40 juta demi penuhi keperluan makanan negeri

KEADAAN ladang penternakan ayam secara Closed Breeding Farm menggunakan teknologi tinggi bertaraf antarabangsa turut didirikan di TKPM di sini.
KETUA Menteri (paling kiri) menyempurnakan majlis menurunkan tandatangan perasmian pembukaan pada plad khas di tembuk masuk TKPM, sambil disaksikan oleh Dr. Afif Bahardin (dua dari kiri), Mohd. Rashid Hasnon (tiga dari kiri) serta pemimpin Kerajaan Negeri lain di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH - Pembukaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Juru dengan nilai pelaburan kira-kira RM40 juta baru-baru ini demi memenuhi keperluan makanan negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah itu demi memenuhi keperluan makanan negari yang dijangka kian meningkat menjelang tahun 2020.

"Kesedaran pada pengguna terhadap makanan protein umpamanya mengakibatkan permintaan ikan tiap-tiap tahun kian meningkat, maka, penternakan ikan akaukultur dengan sokongan teknologi terkini sudah tentu diperlukan sebagai alternatif.

"Tidak ada yang mustahil untuk dicapai jika kita berusaha melaksanakan projek berskala besar, secara komersial dengan disokong oleh teknologi tinggi, membabitkan usahawan termasuk daripada sektor swasta.

"Jadi, saya berharap kemajuan aktiviti pertanian di Pulau Pinang dengan sokongan teknologi terkini mempu dilakukan supaya setanding dengan sektor perindustrian dan pelancongan negeri," ujar Guan Eng pada Majlis Perasmian Pembukaan TKPM tersebut.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut berucap pada majlis tersebut.

Guan Eng memberitahu, kesedaran pengguna pada makanan berprotien mengakibatkan permintaan ikan daripada 1.3 juta tan metrik pada tahun 2010 dijangka meninggkat kepada 1.9 juta tan metrik pada tahun 2020, dengan pertumbuhan 3.8 peratus setahun.

Lagipun, Guan Eng menjelaskan bahawa sektor pertanian negeri mencapai pertumbuhan menggalakkan sebanyak 4.7 peratus, berbanding dengan 3.0 peratus untuk seluruh Malaysia untuk tahun 2011 hingga 2013.

"Ini menyebabkan sumbangan pertanian kepada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) naik kepada 1.9 peratus pada tahun 2013, berbanding dengan 1.6 peratus pada tahun 2005," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Sebelum itu, Dr. Afif memberitahu bahawa TKPM yang berkeluasan 115.20 hektar itu dibahagikan kepada zon pertanian, zon perinkanan dan zon penternakan.

Tambah beliau, pengurusan TKPM ini turut disokong secara bersepadu oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perikanan peringkat negeri.

Difahamkan, penternakan ayam secara Closed Breeding Farm menggunakan teknologi tinggi bertaraf antarabangsa turut didirikan di TKPM.

Langkah komersial itu susulan Nilai Hasil Tahunan (NHT) bagi aspek pengeluaran peladangan melebihi hasil RM844.10 juta yang diperoleh pada tahun 2014, dengan 60 peratus hasil daripada pengeluaran ayam dan itik.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Dato' Abu Jamal Nordin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani turut hadir pada majlis tersebut.