Skip to main content

Mungkin kaveat tanah sebab kontroversi 1MDB, respons Guan Eng

KETUA Menteri (kanan) menunjukkan salinan Perenggan 320 Kanun Tanah Negara pada sidang media yang disertai Wong Hon Wai (kiri) di sini, petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri mempertimbang langkah perundangan untuk mengkaveat beberapa bidang tanah, termasuk di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam dan Air Putih, yang dikaitkan dengan urusniaga syarikat kontroversi 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu lagi, langkah tersebut demi memelihara kepentingan awam di negeri ini memandangkan firma pelaburan milik Kementerian Kewangan terbabit kian dilihat mencurigakan, dengan hutang terkumpul kira-kira RM42 bilion dalam tempoh lebih enam bulan.

Lagipun, katanya lagi, kontroversi 1MDB itu sendiri kian menjadi perhatian media antarabangsa serta dalam proses siasatan dalaman di Putrajaya.

"(Pejabat) Tanah dan Galian (PTG) akan menulis surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul (Kanda) untuk datang dan memberikan penjelasan secara terperinci mengenai (ketuanpunyaan) tanah-tanah tersebut, termasuk yang dimiliki di Air Itam.

"Inilah Akta Kanun Tanah Negara yang memberikan kuasa kepada Kerajaan Negeri melalui pejabat kami (PTG) untuk menyusun langkah kaveat.

"Ini, baru (peringkat) pertimbangan dan kita (Kerajaan Negeri) masih belum melakukan apa-apa langkah (kaveat) lagi," jelas Guan Eng yang juga  Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam kepada wartawan di sini, petang tadi.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai turut menyertai sidang media tersebut.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, langkah kaveat itu boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri sebagai Pihak Berkuasa Negeri berdasarkan Perenggan 320(1) Kanun Tanah Negara.

Peranggan 320(1)(a) kanun tersebut antara lain menyebut, langkah kaveat boleh dilakukan "untuk mencegah penipuan atau urusniaga yang tak patut".

Manakala, Peranggan 320(1)(b)(i) kanun tersebut pula menyebut, langkah kaveat boleh dilakukan "untuk melindungi kepentingan" Persekutuan atau Pihak Berkuasa Negeri.

Difahamkan, apabila sesuatu kaveat dimasukkan (didaftarkan) ke atas sesuatu hakmilik tanah, maka, ianya akan menghalang sebarang urusan daripada berlaku ke atas tanah tersebut.

Terdahulu, Guan Eng pada kenyataan berasingan di lobi Parlimen memberitahu bahawa Kerajaan Negeri mempertimbang langkah membekukan segala aktiviti urusniaga 1MDB di negeri ini

Respons itu sebagai reaksi pada kenyataan Arul yang menyatakan 1MDB "menerima pernyataan minat yang mendalam terhadap tanahnya di Air Itam dan Pulau Indah".

Guan Eng menegaskan langkah pembekuan serta-merta urusniaga berkaitan 1MDB itu kerana firma pelaburan tersebut dalam siasatan di peringkat Putrajaya sendiri.