Skip to main content

Maimunah sasar 70 sekolah tadika sertai anugerah kitar semula 2015

Oleh: ZAINULFAQARYAACOB

SEBERANG JAYA - Kelab Lion Antarabangsa 308B2 sekali lagi menjadi penaja utama Anugerah Kitar Semula Sekolah-Sekolah Tadika, yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini.

Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, badan bukan kerajaan  (NGO) tersebut turut menyumbang sejumlah tong kitar semula untuk kegunaan semua sekolah yang menyertai pertandingan kali ini.

"Anugerah tahun lepas pun, Lion Club telah menaja hadiah untuk anugerah ini.

"MPSP mensasarkan sebanyak 70 buah sekolah tadika akan mengambil bahagian pada tahun ini," jejas Maimunah pada Majlis Penyampaian Hadiah Kitar Semula Sekolah Tadika 2014 & Pelancaran Anugerah Kitar Semula Sekolah Tadika 2015 di sini.

District Governor Kelab Lion Antarabangsa 308B2, 'Lion' Ooi Chao  Syhuan turut berucap pada majlis yang dilangsungkan di Auditorium Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda.

Hadir sama,  Setiausaha Majlis MPSP,  Sr. Rozali Mohamud, serta beberapa ahli majlis lain.

Maimunah memberitahu, hanya 13 daripada 46 sekolah tadika yang menyertai pertandingan itu pada tahun lepas menghantar laporan berwajib kepada MPSP.

Justeru, juri lantikan kemudiannya memilih empat sekolah tadika cemerlang untuk menerima hadiah wang tunai sebanyak RM200, manakala sembilan yang lain diberi saguhati RM100.

"Secara mudah,  program ini demi memaksimumkan kitar semula, meminimumkan sisa, mengurangkan penggunaan serta memastikan setiap barangan yang dihasilkan boleh digunakan semula, dikitar dan dikomposkan.

"Laporan aktiviti merangkumi semua aspek ini akan dinilai,  dan 40 hadiah berupa wang tunai telah pun disediakan bagi anugerah pada tahun ini," jelas Maimunah.