Skip to main content

Larian Sihat Basmi Arak Murah 11 Oktober sasar 8,000 peserta, umum pemimpin muda DAP P. David Marshel

(Dari kiri) A. Tiagarajen, M. Satees, P. David Marshel, Maimunah Mohd. Sharif, Loh Joo Huat, Rozali Mohamud dan Zulkifli Ibrahim pada sidang media mempromosi Larian Sihat Membasmi Arak Murah di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Larian Sihat Basmi Arak Murah pada 11 Oktober depan dari Padang Majlis Perbandaran Seberang Perai di sini mensasarkan 8,000 penyertaan, termasuk pelajar-pelajar sekolah.

Ahli Majlis MPSP, P. David Marshel memberitahu, acara tersebut dianjurkan oleh Gerakan Anti-Arak Murah Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri, MPSP.

“Setakat ini 18,000 tandatangan telah berjaya dikumpulkan, dan kita berharap program (seumpama) Larian Sihat Basmi Arak Murah ini boleh menyumbang ke arah sasaran 100,000 tandatangan bantah penjualan arak murah pada penghujung tahun ini,” jelas David bersama-sama seorang lagi Ahli Majlis, M. Satees kepada wartawan di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini, semalam.

Katanya lagi, acara tersebut ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang mengubal undang-undang baru untuk mengawal arak murah.

Barcakap pada sidang media sama sebelum itu, Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri dijadual akan menyempurnakan acara pelepasan larian, yang turut akan disertai oleh Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy.

Setiausaha Majlis, Sr. Rozali Mohamud serta beberapa Ahli Majlis lain, A. Tiagarajen, Loh Joo Huat dan Zulkifli Ibrahim turut menyertai sidang media sama.

Difahamkan, larian ria sejauh 4.5 kilometer itu bermula dari Padang Bandaran MPSP dekat Butterworth melalui Jalan Kampung Bengali, Jalan Telaga Air, Jalan Raja Uda, Jalan Kampung Paya, Jalan Kampung Gajah, Jalan Bagan Luar dan kembali ke garisan permulaan.

Yuran RM15 untuk kategori kanak-kanak berusia enam tahun ke atas, manakala RM25 untuk kategori dewasa serta pelajar sekolah yang berusia 13 tahun dan ke atas.

“Ini bukan acara perlumbaan, tetapi ini adalah larian ria, maka mereka yang menyertai larian ria ini akan diberi sijil penyertaan, beg kitar semula dan hadiah-hadiah tajaan yang lain,” jelas wakil penganjur, WC Event Organiser Sdn. Bhd..

Pendaftaran secara offline boleh dibuat di semua Kaunter Utama MPSP atau di Pusat Khidmat ADUN Perai P. Ramasamy atau hubungi wakil penganjur di talian 012-4472042/01124215661/045489875.

Pendaftaraan secara online boleh dibuat di laman web www.wceevents.com.my, dan tarikh tutup pada 15 September 2015.

“Pengambilan baju T larian pada 1 dan 8 Oktober di Lobi MPSP Bandar Perda, mulai jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang,” ujar wakil penganjur lagi.

Terdahulu, kempen membasmi arak murah dilancarkan pada bulan Julai lalu, antara lain demi mengurangkan risiko kematian akibat sakit barah, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan miskin.