Skip to main content

Langkah pemutihan 'kilang haram' hingga Ogos, tegas YDP MPSP

MAIMUNAH Mohd. Sharif (tengah) bersama-sama Rozali Mohamud (kiri) dan Loh Joo Huat pada sidang media di sini baru-baru ini. | Foto: Ahmad Adil Mohamad daripada arkib Buletin Mutiara

Oleh : DARWINA MOHD. DAUD & ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Kesemua 506 'kilang haram' yang dikenal pasti beroperasi aktif di sekitar Seberang Perai digesa supaya segera mengemukakan pelan bangunan serta mematuhi beberapa syarat asas keselamatan berwajib sebelum penghujung bulan Ogos ini, demi mengelak langkah perundangan selanjutnya daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif bagaimanapun tidak pula menjelaskan bahawa para pengusah kilang tanpa lesen terbabit akan diberikan lesen sementara, sebagai langkah moratorium atau pergantungan serta penangguhan kegiatan penguatkuasaan berwajib atas persetejuan bersama antara mereka dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

“Kita (MPSP) telah membawa garis panduan 2013 pemulihan untuk kilang-kilang yang tidak dapat kelulusan daripada majlis pada 2013.

“Dan, kita juga telahpun memberi masa untuk kilang-kilang ini mengemukakan plan sehingga bulan Ogos 2015,” tegas Maimunah berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlisnya, M. Satees pada sesi Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha Majlis bagi MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan seorang ahli majlis lain, Loh Joo Huat turut menyertai sidang media tersebut.

Daripada 506 kilang yang beroperasi tanpa kelulusan MPSP, difahamkan, 59 buah berada dalam zon perindustrian dan baki 447 kilang lagi berada di luar pelingkungan zon perindustrian.

Maimunah memberitahu, pengusaha-pengusaha kilang terbabit sepatutnya boleh melaksanakan kewajipan masing-masing, memandangkan MPSP sebelum ini telahpun menganjurkan tiga siri dialog pada bulan Januari 2013 serta 30 April 2015 dan 15 Jun lalu.

Pun begitu, katanya, MPSP secara pentadbiran akan tetap menganjurkan suatu program jelajah, khusus untuk menjayakan program pemutihan kilang-kilang haram berkenaan mulai bulan September depan.

Katanya lagi, para pemilik premis perniagaan dan sekumpulan arkitek yang berdaftar dengan MPSP turut akan dijemput menyertai program jelajah tersebut, demi membantu menyelesaikan masalah berbangkit tersebut.

“Ini adalah cara proaktif untuk menyelesaikan masalah dan juga merupakan cabaran bagi pihak MPSP itu sendiri untuk industri yang tiada kelulusan majlis,” jelas Maimunah lagi.

Dalam perkembangan berasingan, Maimunah turut menjelaskan bahawa sebuah kuari di Kubang Hulu tidak lagi beroperasi, selepas pemiliknya diberikan notis berhenti kerja pada tahun 2013, disebabkan tidak mematuhi syarat-syarat yang digariskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut Maimunah, langkah penguatkuasaan bersepadu itu turut membabitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).