Skip to main content

Janji mengecat semula 26 blok rumah pangsa Taman Tun Sardon hampir dikotai - Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo (tengah), R.S.N. Rayer (empat dari kiri) dan Ramkarpal Singh (paling kanan) pada acara gimik pelancaran fasa akhir program mengecat baki empat blok di Taman Tun Sardon, di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SERI DELIMA - Kerja-kerja mengecat kesemua 26 blok rumah pangsa di Taman Tun Sardon dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi, sebagai mengotakan janji bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada tahun 2013 dulu.

Anaknya, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan memberitahu, kerja-kerja berwajib yang dimulakan sejak bulan Mei tahun lepas itu menelan peruntukan kira-kira RM1 juta.

"Ini merupakan jumlah terbesar yang diperuntukkan oleh Jabatan Perumahan Negeri.

"Dua puluh dua blok telah siap pada akhir tahun 2014, dan pada hari ini, fasa terakhir baki empat blok akan bermula dengan kos RM198,000," jelas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Seorang lagi anak Karpal, Ramkarpal Singh yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, R.S.N Rayer (ADUN Seri Delima) dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Yusoff Noor turut serta pada sidang media itu.

Jagdeep memberitahu, 80 peratus kos fasa akhir projek tersebut ditanggung oleh Kerajaan Negeri, manakala baki 20 peratus ditanggung oleh Rayer.

"Kami (Kerajaan Negeri) akan terus melaksanakan apa yang kami cakap dan menyampaikan janji-janji kami kepada rakyat, yang merupakan sesuatu yang tidak dapat dikotakan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan," jelas Jagdeep.

Beliau turur menggesa Kerajaan Pusat supaya membalas surat rasminya bertarikh 19 Jun lalu, yang menuntut penjelasan sama ada Putrajaya mahu meneruskan Projek Penyelenggaraan Tabung 1Malaysia (TP1M) atau sebaliknya.

Ini kerana, katanya, TP1M tidak lagi disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), sedangkan kelewatan meluluskan 118 lagi permohonan di bawah skim tersebut sehingga kini disebabkan amalan tadbir urus daripada Kerajaan Pusat sendiri.

"Kita tidak boleh meluluskan HAPPY (Program Bantuan Perumahan Rakyat Pulau Pinang) untuk membiayai kos yang sepatutnya ditanggung oleh penduduk, selagimana proses kelulusan TP1M jika masih ada (selepas RMK-11) ini terus dilewat-lewatkan.

"Terdapat 118 permohonan tertunggak (membabitkan) projek kos rendah dan sederhana rendah di Pulau Pinang di bawah TP1M ini, dengan jumlah anggaran kira-kira sekitar RM28 juta," kata Jagdeep.