Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
BERTAM - Lambakan daftar masuk hampir 1,000 pesakit luar tiap-tiap hari ke Hospital Pulau Pinang sewajarnya menuntut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mewujudkan infrastruktur serta perkhidmatan kepakaran seumpamanya yang baru di luar bahagian pulau.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, infrastuktur kesihatan sedia ada di Hospital Kepala Batas sebenarnya cukup sesuai untuk dinaik taraf demi memenuhi khidmat kepakaran berwajib.
Bahkan, beliau sekali lagi mengulangi komitmen Kerajaan Negeri untuk menawarkan tanah sekiranya Kerajaan Pusat bercadang untuk membina sebuah hospital awam yang baru di bahagian Seberang Perai.
“Kementerian juga boleh mempertimbang untuk menaik taraf perkhidmatan kepakaran di Hospital Kepala Batas, yang sebenarnya sangat diperlukan, khususnya oleh warga tempatan dari sekitar Seberang Perai.
“Kerajaan Negeri bersedia menawarkan tapak di luar Hospital Pulau Pinang sekiranya Kerajaan Pusat bersedia untuk membina hospital yang baru di negeri ini,” jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, selepas majlis mengagih sumbangan kurma kepada para pesakit dan kakitangan di Hospital Kepala Batas serta Klinik Kesihatan di sini semalam.
Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak dan Muhasdey Mohamad (PPK Pinang Tunggal) turut menyertai majlis ringkas tersebut.
Mereka disambut oleh Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr. Norhaslina Baharkodin dan Dr. Adlina Bakar (Penaung Klinik Kesihatan Kepala Batas).
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Pusat pada bulan April lepas mengumumkan rancangan untuk menaik taraf Hospital Seberang Jaya di atas tapak berkeluasan 3.26 ekar di dalam kawasan hospital tersebut, demi menangani lambakan pesakit.
Itu, tidak termasuk peruntukan kira-kira RM400 juta yang diumumkan pada bulan Mei lalu untuk tujuan penarafan Hospital Pulau Pinang, dengan cadangan memindahkan operasi pesakit luar hospital tersebut ke sebuah bangunan berhampiran Jalan Sepoy Lines di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dalam kenyataannya dilaporkan berkata, keputusan mengenai pemindahan itu masih belum dimuktamad serta pelaksanaannya dijangka bermula pada hujung tahun ini, jika lokasi baru itu bersesuaian.
Dr. Afif pula dalam kenyataannya berharap, rancangan penarafan semua hospital di negeri ini disegerakan mengikut jadual pelaksanaan demi menangani lambakan pesakit yang kian bertambah di negeri ini.
No comments:
Post a Comment