Skip to main content

Adik bertudung litup ini atlet skuasy bawah 15 tahun no. 1 Asia

NUR Aliah Izzati Muhammad Anis (kiri) bersama-sama ayahnya.

LATIHAN dua hingga tiga jam tiap-tiap hari kecuali Ahad berjalan seperti biasa walaupun dalam bulan Ramadan ini.

Nur Aliah Izzati Muhammad Anis, 15, berkata, langkah itu demi mengekalkan stamina serta pengalaman, walaupun mengakui rasa dahaga dan lapar sementara menunggu waktu berbuka puasa.

Demikian perkongsian pengalaman atlet skuasy yang kini menduduki ranking nombor satu peringkat Asia pada Jun 2015 itu.

“Walaupun saya boleh berbuka puasa disebabkan terlalu letih dengan latihan ini, tetapi saya tetap berpuasa.

“Saya juga pernah menyertai Hong Kong Junior Open 2014 dalam keadaan berpuasa seperti sekarang (pada bulan Ramadan lepas) dan berjaya mendapat nombor tiga kategori bawah 15 tahun.

“Dapat nombor tiga bukan sebab puasa, tetapi saingan yang kuat serta kelebihan teknik persembahan daripada pencabar,” jelas Nur Aliah Izzati semasa diwawancara oleh fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB di Kompleks Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David dekat kawasan Parlimen Jelutong di sini baru-baru ini.

Katanya, dua rakan sepasukan bawah 15 tahun, Zetty Zawanah dan Ezzri Nazri pun masing-masing menjalani latihan seperti biasa pada bulan ibadah berpuasa ini.

Nur Aliah Izzati mula didedahkan menganai skuasy oleh ayahnya sendiri, Muhammad Anis Abu Bakar, 52, yang juga guru pendidikan jasmani sejak berusia tujuh tahun lagi.

Kini, beliau di bawah bimbingan jurulatih negeri, Aaron Soyza dan Khoo Teng Hin, iaitu jurulatih yang berjaya mencungkil bakat luar biasa ratu skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David dan Low Wee Wern (ranking nombot tujuh dunia).

Dalam tempoh sembilan tahun bermain skuasy, Nur Aliah Izzati berjaya merangkul pelbagai pencapaian kategori bawah 15 tahun, antaranya, juara CIMB Junior Circuit 2015, Naib Juara dalam Kejohanan Terbuka ASEAN di Iran (2014), juara dalam Tontrefact Junior Open 2014 di Leeds.

“Dalam Penang Malaysian Junior 2015 baru-baru ini, saya dapat tempat kedua sebab tewas dengan pencabar dari Kedah,” ujar Nur Aliah Izzati sambil mengakui bahawa masih banyak yang perlu dipelajari jika mahu memburu kejuaraan berterusan seperti Nicol David.

Keluarga & Sekolah
Nur Aliah Izzati memberitahu kejayaan yang dicapaian kini sebenarnya disokong kuat oleh keluarga, khususnya ayah dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

NUR Aliah Izzati Muhammad Anis.
“Ayah yang banyak menyokong,” respons beliau sambil memeluk Muhammad Anis.

Nur Aliah Izzati merupakan anak bongsi daripada empat adik beradik.

Tahu tidak tahu, kakaknya, Nur Athirah Muhammad Anis, 19, turut merupakan atlet skuasy, mewakili Negeri Tengganu serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di negeri berkenaan.

Nur Aliah Izzati turut mengaku bahawa guru-guru dan rakan sebaya di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kenari dekat Kulim, Kedah banyak memberi sokongan dari segi pembelajaran dan moral.

“Saya seperti pelajar-pelajar biasa lain juga, ada kawan dan seringkali ditekankan oleh guru-guru mengenai pembelajaran saya.

“Selalunya, saya main badminton dengan kawan-kawan di sekolah dan saya sangat suka bermain badminton.

“Apabila sertai kejohanan di luar negara, kawan-kawan di sekolah memang sedar saya hilang kadang-kadang lebih seminggu, mujur dapat sokongan pembelajaran daripada cikgu-cikgu secara khusus,” jelas beliau.

Tambah beliau, Pengetua Sekolah, Ismail Md. Isa, Cikgu Amir Ramli (Penolong Kanan Kokurikulum) banyak membantu beliau dalam mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dan atlet negari Pulau Pinang.

Tambah-tambah, Nur Aliah Izzati sedang bergelut menyiapkan projek folio sebelum mendepani ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dijadualkan pada bukan Oktober nanti.

“Semua kerja sekolah mesti dihabiskan di sekolah kerana, selepas waktu sekolah, ayah akan membawa saya ke sini untuk latihan.

“Akan rehat atau tidur sekejap dekat kerusi sofa di, sebelum memulakan latihan di sini.

“Walaupun skuasy adalah 'nombor satu', pesanan cikgu agar kecemerlangan akademik bukanlah 'nombor dua' (iaitu mesti diutamakan juga) tidak pernah diabaikan,” jelas Nur Aliah Izzati.

Penghargaan
“Ada dua kepuasan dalam hidup saya, satu apabila menewaskan pencabar di gelanggang, dan kedua, apabila pencapaian kita dihargai.

“Walaupun saya sudah ada testimonial tersendiri dalam sukan skuasy bawah 15 tahun ini, perjalanan saya masih jauh dan saya tidak pernah puas dengan apa yang ada,” jelasnya.

Nur Aliah Izzati baru-baru ini mendapat Anugerah Olahragawati Harapan 2014, yang disampaikan sendiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas, Mei lepas.

Beliau turut dipilih menerima Anugerah Tunas Harapan Negeri 2013 daripada Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Kerajaan Negeri Kedah.

Tidak cukup dengan itu, katanya lagi, pencapaian yang ada turut menggamit tajaan beberapa pihak, seperti aksesori dan pakaian sukan daripada Dunlop, Biasiswa Sukan Kedah RM700 setahun, Biasiswa Kementerian Pendidikan RM1,000 hingga RM1,500 setahun sejak tiga tahun lalu, sumbangan Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (Sport Excell) dan hadiah pada setiap kali kejohanan.

“Dalam tempoh tiga bulan ini (Mac hingga Jun 2015), saya bersyukur dengan tajaan dan penghargaan yang diperolehi, kira-kira hampir RM5,000 juga, termasuk dalam CIMB Junior Circuit 2015 dan sumbangan perhargaan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) baru-baru ini.

“Walaupun memang ada tajaan dan biasiswa, tetapi sebenarnya perlu pada insentif tambahan (luar latihan) yang lain.

“Seperti saya umpamanya, tak masuk kos minyak makan minum dari Kulim ke ke tempat latihan, kos tol sahaja kira-kira RM13 tiap-tiap hari,” ujar Nur Aliah Izzati lagi.

Harapan
Nur Aliah Izzati yakin bahawa prospeks sukan skuasy di negeri ini kian cemerlang, disebabkan insiatif pihak berwajib membangunkan secara bersepadu sains sukan untuk keperluan asasi para atlet negeri.

“Tenaga sahaja tidak memadai melainkan perlu disokong oleh pengalaman dan (pembangunan) sains sukan.

“Saya sangat berterima kasih kepada SRAM (Squash Racquets Association of Malaysia) yang menyediakan kem intensif pada hujung tahun, yang menawarkan penerapan sains sukan sepertimana di luar negara juga,” jelas Nur Aliah Izzati.

Dengan semua sokongan, penghargaan dan harapan ini, Nur Aliah Izzati mengaku bahawa beliau akan terus memasang tekad untuk memburu lebih banyak kejuaraan demi Pulau Pinang.

“Ke manapun saya terbang, hari saya tetap untuk Pulau Pinang, kejuaraan yang akan terus saya burupun untuk negeri ini,” jelas beliau.