22 June 2015

PR1MA tiada lagi di P.Pinang, Jagdeep terkejut iklan terbaru Putrajaya

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan iklan terbaru Putrajaya di akhbar The Sunday Times bertarikh 21 Jun lepas yang tidak lagi mengumumkan rancangan Kerajaan Pusat untuk membina PR1MA di negeri ini, dalam sidang media di sini pada tengah hari tadi. | Foto: Shum Jian Wei (Buletin Mutiara)

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Pusat baru-baru ini mengumumkan pemajuan 13 projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk dimohon oleh seluruh rakyat Malaysia melalui suatu iklan di akhbar The Sunday Times bertarikh 21 Jun lepas, tetapi tiada lagi rancangan pembinaan rumah mampu milik di bawah skim tersebut di Pulau Pinang.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dalam kenyataannya melahirkan rasa terkejut dengan layanan dingin Kerajaan Pusat ke atas rakyat Malaysia di negeri ini, yang didakwa berpunca oleh sentimen politik serta perbezaan ideologi kepartian.

“Dalam iklan di akhbar The Star pada 26 Oktober 2014, masih disebut PR1MA akan dibina di Bandar Gelugor dan Balik Pulau.

“Dalam surat kepada Ketua Menteri (Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada 25 November tahun lepas, Datuk Seri (Dr.) Shahidan Kasim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri masih menyebut rancangan PRIMA di Pulau Pinang ini dekat Bandar Gelugor, Balik Pulau dan Teluk Kumpur.

“Tetapi, saya terkejut apabila membaca iklan terbaru di The Sunday Times semalam (21 Jun 2015) yang tidak lagi menyebut apa-apa (PR1MA) untuk Pulau Pinang, sama seperti pengumuman RMK-11 (Rancangan Malaysia Ke-11),” jelas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan di sini, tengah hari tadi.

Menurut Jagdeep, pihaknya secara konsistan mengutus kira-kira 10 surat kepada Kerajaan Pusat sejak 20 Oktober 2013 hingga 22 April lepas, agar PR1MA boleh dibina di negeri ini.

Itu, katanya, tidak termasuk lagi surat yang diutus oleh Guan Eng kepada Kerajaan Pusat.

“Sejak PR1MA diperkenalkan pada tahun 2012 hingga kini, Pulau Pinang langsung tidak mendapat projek perumahan di bawah skim ini.

“Kalau kita (rakyat Pulau Pinang) tidak membayar cukai kepada Kerajaan Pusat, saya tidak akan minta pun PR1MA, tetapi kita pembayar cukai ketiga tertinggi Malaysia.

“Kalau sektor swasta boleh datang membina perumahan mampu milik di Pulau Pinang, Kerajaan Pusat datanglah ke negeri ini kerana rakyat Pulau Pinang pun adalah rakyat Malaysia yang layak untuk mendapatkan PR1MA,” jelas Jagdeep.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep sekali lagi menggesa pihak bank supaya melonggarkan syarat pinjaman perumahan, demi membolehkan lebih ramai rakyat membeli rumah mampu milik, khususnya kategori rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Kira-kira 70 peratus permohonan (pinjaman perumahan di negeri ini) ditolak oleh bank, ertinya tiap-tiap 10 orang hanya tiga sahaja yang layak.

“Sebenarnya bank tidak berdepan dengan risiko yang besar, kerana harga rumah senantiasa akan meningkat tiap-tiap tahun, jika dijual oleh pembeli pertama selepas tempoh moratorium (penggantungan atau penangguhan sesuatu kegiatan jual beli secara persetujuan bersama),” ujar Jagdeep yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC).

Justeru, katanya lagi, Kerajaan Negeri akan berbincang sekali lagi dengan para pemaju swasta dan pihak bank pada Sidang Memuncak Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang 2015 yang dijadualkan pada bulan Ogos ini, demi menangani isu pinjaman perumahan berbangkit tersebut.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus