Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Rancangan Kerajaan Negeri membina Tech-Dome Pulau Pinang bernilai RM25 juta yang dijangka siap pada tahun depan turut menerima sumbangan korporat sebanyak RM1 juta daripada Altera Corp. Sdn. Bhd., baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menganggap langkah Altera itu sebagai sumbangan jangka panjang untuk membina inspirasi generasi masa depan di negeri ini.
"Terima kasih untuk Altera kerana membantu melengkapkan misi Penang Tech-Dome, di mana ini adalah projek untuk membina inspirasi generasi masa depan untuk kecemerlangan sains dan teknologi," ujar Guan Eng kepada wartawan di sini.
Naib Presiden Kanan Operasi & Kejuruteraan Sedunia Altera, William Y. Hatta, Dato' Dr. Mohd. Sofi Osman (Naib Presiden Wilayah APAC Operasi & Kejuruteraan Sedunia), S.K. Fong (Naib Presiden R7D), Mario Bolanos (Pengarah Perkhidmatan Teknikal Pulau Pinang) dan beberapa lagi wakil Altera turut menyertai sidang media tersebut.
William Y. Hatta dalam kenyataannya memberitahu, Altera berada di Pulau Pinang sejak lebih 20 tahun dalam bidang penyelidikan dan pembanguan (R&D) untuk memenuhi keperluan pasaran dunia.
"Dan, kini kami mempunyai pasukan yang kuat (terdiri) lebih 1,000 jurutera.
"(Justeru,) kami amat berbesar hati untuk memberi sumbangan kembali kepada rakyat (Pulau Pinang)," jelas beliau.
Terdahulu, Globetronics Technology Bhd. dan Inary Technology Sdn. Bhd. masing-masing turut memberi sumbangan korporat berjumlah RM100,000 untuk pembinaan Tech-Dome Pulau Pinang.
Difahamkan, Tech-Dome Pulau Pinang sebelum ini turut menerima tajaan daripada pelbagai pihak swasta serta perseorangan, yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM17.7 juta.
Itu, tidak termasuk sumbangan Toray Corp. berjumlah RM300,000.
Itu, tidak termasuk sumbangan Toray Corp. berjumlah RM300,000.
Pihak swasta terbabit antaranya IJM Corporation, Intel Corporation dan Intel Foundation, Phison Electronics, Nationgate Teknologi, Mah Sing Group, Kumpulan Ideal Properties, Dato 'Cheah Cheng Hye, Hotayi Elektronik, Quill Development, Tian Siang Premium Auto, Hwang Investment Management, MEI dan CS Tang.
Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang turut menyerahkan dana awalan berjumlah RM1.15 juta kepada Tech-Dome Penang, disusuli sumbangan tambahan berjumlah RM4 juta lagi kemudiannya.
Selain penubuhan Tech-Dome Pulau Pinang, Kerajaan Negeri sebelum ini turut menubuhkan Kafe Sains Pulau Pinang (PSC) di Wisma Wisma Yeap Chor Ee dekat Pengkalan Kota serta Pusat Pembelajaran Karpal Singh Pulau Pinang (KSPLC) dekat Seri Delima atas tujuan melahirkan generasi celik sains dan teknologi pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment