07 May 2015

'Kak Wan' mengundi 8.32 pagi, yakin undi sokongan di Pmtg. Pauh tak menurun

DR. Wan Azizah Wan Ismail di pintu masuk SK Penanti.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PENANTI - "Kak Wan" atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail hadir di Pusat Buang Undi Sekolah Kebanggaan Penanti pada detik 8.32 pagi ini, diiringi oleh ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail serta penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lain.

Selepas menunaikan tanggungjawab mengundi, Dr. Wan Azizah berkata beliau yakin peratus turun mengundi tidak menjunam, sungguhpun kempen boikot senyap oleh pihak tertentu seperti menjadi cakap-cakap umum sejak awal musim Pilihan Raya Kecil (PRK) ini nyata berlaku.

"Saya tak berapa percaya bahawa undi (kepada) PKR di Permatang Pauh akan menurun.

"Saya harapkan keyakinan daripada Allah," ujar Dr. Wan Azizah, yang juga isteri bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya lagi, Anwar, anak-anak serta semua penyokong Pakatan Rakyat adalah sumbu semangat untuk beliau mendepani PRK kali ini.

"Sedih...PRK PP (P.044 Parlimen Permatang Pauh) sepatutnya tak berlaku.

"Namun, hidup mesti diteruskan, hidup mesti terus berlawan, terima persaingan yang ada dan terus berjumpa mereka (pengundi) sepanjang hari ini," ujar Dr. Wan Azizah.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya, sekaligus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar, sejak 10 Februari lepas sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes 'Fitnah Liwat II' membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Dr. Wan Azizah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 berjaya mendapat 13,338 undi majoriti daripada keseluruhan 30,338 undi menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail.

Pelan ambil alih kerusi Parlimen P.044 melalui PRK pada tahun 2009 menyaksikan Anwar mendapat 15,671 undi majoriti.

Dalam pertandingan tiga penjuru pada PRU13, 5 Mei 2013 lepas, Anwar, Dr. Mazlan Ismail (calon BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) masing-masing mendapat 37,090 undi, 25,369 undi dan 201 undi.

Anwar mendapat 11,721 undi majoriti pada pilihan raya itu.

Manakala pada PRK kali ini, Dr. Wan Azizah ditentang oleh calon Barisan Nasional, Suhaimi Sabudin serta dua calon lain daripada Bebas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Mampukah Dr. Wan Azizah pertahan kemenangan P.044 dengan sokongan majoriti yang lebih baik?

Tunggu keputusan pada malam ini di Pusat Pejumlahan Undi dekat IKBN Berapit.


No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus