Oleh: ZAINULFAQAR
YAACOB
GEORGE TOWN -
Kerajaan Negeri dengan kerjasama sektor swasta akan memajukan
Tech-Dome Pulau Pinang bernilai RM25 juta di tapak asal dewan kubah
dekat Komtar di sini, yang dijangka siap pada tahun depan.
Ketua Menteri, YAB Tuan
Lim Guan Eng berkata, semua reka bentuk serta ciptaan terbaru dalam
bidang sains dan teknologi akan ditempatkan di Tech-Dome Pulau
Pinang, agar menjadi sumber inspirasi generasi masa depan.
“Kita (Kerajaan Negeri)
sangat percaya bahawa sains dan teknologi begitu kritikal untuk
pembangunan peradaban masa depan Pulau Pinang.
“Kalau dilihat pada
kegemilangan tamadun terdahulu sekalipun, seperti (peradaban) Islam,
China, kedua-duanya gemilang di dunia kerana memimpin pembangunan
sains dan teknologi.
“Kita
tidak mempunyai sumber semula jadi...salah satu bidang yang kita
(Kerajaan Negeri) mesti berusaha untuk mengubah adalah dengan
menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan sains dan
teknologi untuk generasi masa depan,” jelas Guan Eng kepada
wartawan di sini baru-baru ini.
Timbalan
Ketua Menteri, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dan Timbalan Ketua Menteri
II, Prof. P. Ramasamy turut menyertai sidang media tersebut.
Pada
majlis sama, Guan Eng turut menyaksikan wakil dua syarikat korporat,
Globetronics Technology Bhd. dan Inary Technology Sdn. Bhd.
masing-masing menyumbang RM100,000 kepada Penang Tech Centre Bhd.,
selaku pihak yang bertanggungjawab ke atas Tech-Dome Pulau Pinang.
Difahamkan,
Tech-Dome Pulau Pinang sebelum ini turut menerima tajaan daripada
pelbagai pihak swasta serta perseorangan, yang keseluruhannya
berjumlah kira-kira RM17.7 juta.
Pihak
swasta terbabit antaranya IJM Corporation, Intel Corporation dan
Intel Foundation, Phison Electronics, Nationgate Teknologi, Mah Sing
Group, Kumpulan Ideal Properties, Dato 'Cheah Cheng Hye, Hotayi
Elektronik, Quill Development, Tian Siang Premium Auto, Hwang
Investment Management, MEI dan CS Tang.
Perbadanan
Pembangunan Pulau Pinang turut menyerahkan dana awalan berjumlah
RM1.15 juta kepada Tech-Dome Penang, disusuli sumbangan tambahan
berjumlah RM4 juta lagi kemudiannya.
Selain
penubuhan Tech-Dome Pulau Pinang, Kerajaan Negeri sebelum ini turut
menubuhkan Kafe Sains Pulau Pinang (PSC) di Wisma Wisma Yeap Chor Ee
dekat Pengkalan Kota serta Pusat Pembelajaran Karpal Singh Pulau
Pinang (KSPLC) dekat Seri Delima atas tujuan melahirkan generasi
celik sains dan teknologi pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment