16 March 2015

Pergesaran Najib, Muhyiddin tak penting berbanding tangani hutang 1MDB, gesa Guan Eng

KETUA Menteri (tengah) menyantuni para penerima RM100 Sumbangan Warga Emas, yang disertai oleh Wong Hon Wai (dua dari kiri), Ramkarpal Singh (tiga dari kiri) dan Zairil Khir Johari (paling belakang, kiri) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SHUM JIAN-WEI

AIR PUTIH - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pergeseran politik antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kontroversi lambakan hutang syarikat pelaburan negara 1Malaysian Development Bhd. (1MDB) adalah tidak penting serta langsung tidak menguntungkan rakyat.

Justeru, Guan Eng yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih menggesa Putrajaya supaya segera menangani isu tersebut dengan tidak menambah lagi beban hutang negara.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa beban hutang negara ini akhirnya akan ditanggung oleh rakyat, melalui pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) mulai 1 April ini.

“Wujud konflik antara Muhyiddin dengan Najib atau tidak, itu tidaklah penting.

“Yang lebih penting dalam konflik dengan Perdana Menteri adalah bagaimana untuk menangani krisis 1MDB ini,

“1MDB mengakibatkan '1Malaysia Dalam Bahaya', itu yang lebih penting,” tegas Guan Eng pada Majlis Sumbangan RM100 Warga Emas Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dekat perkarangan Maybank Cawangan Kampung Baru di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institude (PI), Zairil Khir Johari, Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri) dan Ramkarpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) turut menyertai sidang media itu.

Guan Eng yang juga juga Ahli Parlimen Bagan turut mengulas mengenai gesaan Muhyiddin supaya langkah menyelamat (bail-out) 1MDB tidak menggunakan dana awam rakyat.

“Muhyiddin buat kali pertama bercakap mengenai 'bail-out' (langkah menyelamat), maka, Muhyiddin seakan bercakap sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Najib.

“1MDB merupakan ancaman pelaburan kewangan yang besar, seakan cuba ditangani melalui langkah menyelamat (bail-out),” tegas Guan Eng lagi.

Katanya, kontroversi 1MDB kini bukan sahaja diperkatakan oleh pemimpin pembangkang, khususnya Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, katanya lagi, isu konterobersi tersebut sudah sampai peringkat menggamit perhatian tokoh-tokoh yang pernah berada dalam Kerajaan Pusat, seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Tun Daim Dzainuddin (bekas Menteri Kewangan).

Respons Guan Eng ini dibuat semasa Dr. Mahathir dalam kenyataan terkini beliau meneruskan kritikan ke atas 1MDB, dengan mengaitkan kontroversi tersebut dengan kekayakan keluarga perdana menteri, terutama anak tiri Najib bernama Riza Aziz yang didedah mampu membeli hartanah mewah serta membikin filem di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Terdahulu, hutang modal berbayar 1MDB kepada pihak asing yang tidak mampu dilangsaikan oleh Kerajaan Pusat didedah sebanyak RM41.9 bilion.

Guan Eng dalam satu forum anjur PI pada bulan lepas menggesa suatu siasatan terbuka dibuat, lalu direkodkan dalam Laporan Ketua Audit Negara akan datang, tidak seperti dalam laporan terbaru sebelum ini.

“Jika mereka (Kerajaan Pusat) gagal bayar, siapa akan bayar,” tanya Guan Eng kepada Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Maslan yang dilihat ghairah membela 1MDB dilaporkan memberi jaminan bahawa lebih RM7 bilion daripada pelaburan persisiran pantai di Cayman Islands akan dipulangkan ke Malaysia pada tahun ini.

Susulan itu, dilaporkan, Muhyiddin dalam suatu reaksi berani berkata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang ditubuhkan di bawah bidang kuasa Parlimen boleh menyiasat mengenai kontroversi 1MDB.

Respons Muhyiddin tersebut dibuat sehari selepas kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang berdalih bahawa pihaknya yakin tiada salah laku dalam 1MDB.

Muhyiddin juga dalam kenyataan lain turut menegaskan bahawa Kerajaan Pusat tidak bersedia melakukan tindakan menyelamat (bail-out) ke atas 1MDB, dengan menggunakan dana awam negara.

Dr. Mahathir pula menggesa suatu siasatan forensik polis perlu dilakukan ke atas 1MDB.

"Yang diperlukan bukan audit biasa buku akaun.

“Yang diperlukan ialah siasatan forensik oleh polis akan tuduhan yang dibuat terhadap beberapa orang yang terlibat dengan pengurusan wang 1MDB," kata Dr. Mahathir dipetik dari blognya.

Desakan demi desakan daripada Dr. Mahathir Mohamad, Putrajaya akhirnya mengesahkan pula pemberian RM950 juta lagi dalam bentuk 'standby credit' kepada 1MDB, kononnya demi menyelesai hutang syarikat pelaburan kontroversi tersebut yang mencecah RM42 bilion.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus