Skip to main content

PAS paling untung urus RM92 juta wang zakat, melebihi bajet seorang Exco Kerajaan P.Pinang, kata PasMa

ZOLKIFLY Md Lazim (kanan) menjelaskan mengenai kepentingan PAS menghantar pakar pembangunan wakaf dalam MAINPP, dalam forum 'Untung Perkukuh Pakatan Rakyat di Pulau Pinang' bersama-sama Ustaz Taib Ahmad (tengah) dan moderator Zainulfaqar Yaacob (kiri) di sini, Sabtu lepas.
MOHAMAD Kamal Abdullah (duduk) bersama-sama sof kepemimpinan PAS Cawangan Kebun Sireh merakamkan gambar kenang-kenangan dengan pemimpin PasMa selepas selesai Forum 'Untung Perkukuh Pakatan Rakyat di Pulau Pinang' di sini, Sabtu lepas


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BATU KAWAN - PAS paling untung di Pulau Pinang kerana bekas Pesuruhjayanya Dato' Mohd. Salleh Man yang kini masih memimpin Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menguruskan kira-kira RM92 juta wang zakat bagi tahun 2014.

Pengerusi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Pulau Pinang, Tuan Haji Zolkifly Md Lazim berkata, angka dana zakat yang diuruskan oleh Mohd. Salleh selaku Yang di-Pertua MAINPP merangkap ADUN Permatang Pasir itu sekaligus menggambarkan bahawa wakil PAS berkenaan sebenarnya menguruskan kewangan negeri terbanyak, melebihi bajet seorang exco Kerajaan Negeri lain.

"Walaupun tiada wakil PAS dalam Exco Kerajaan Negeri, tetapi PAS paling untung kerana kita urus bajet paling besar, lebih besar daripada bajet yang diurus oleh seorang Exco Kerajaan Pulau Pinang daripada DAP dan PKR.

"DAP pun tiada wakil dalam urus zakat ini kerana paling ramai (sebagai ahli lembaga pengarah) dalam MAINPP dan Zakat Pulau Pinang (ZPP), sebagaimana wakil PAS dan PKR dalam institusi tersebut.

"Tak logik lah kalau ada pemimpin PAS Pulau Pinang kata parti rugi tak dapat apa langsung di Pulau Pinang, walaupun Pakatan Rakyat kuasai Kerajaan Negeri sejak tahun 2008," ujar Zolkifly yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang di sini, Sabtu lepas.

Zolkifly berkata demikian pada Majlis Dialog Bersama PasMa mengenai 'Untung Memperkukuh Pakatan Rakyat di Pulau Pinang', di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Barokah dekat Permatang Kebun Sireh dalam Kawasan Parlimen Batu Kawan.

Mewakili Presiden PasMa Dato' Phahrolrazi Mohd. Zawawi, Setiausaha Agungnya Ustaz Taib Ahmad turut hadir sebagai panelis utama, pada majlis dialog anjuran PAS Cawangan Kebun Sireh.

Zolkifly berkata, PAS sepatutnya lebih dinamik dengan menghantar lebih ramai wakil daripada tenaga pakar dalam MAINPP dan ZPP jika mahu terus berdaya saing dalam menguruskan khazanah ummah, seperti zakat dan wakaf di negeri ini.

"Harta wakaf di MAINPP seperti sebidang tanah bersebelahan Wakaf Seetee Aisha (sebelah lebuh raya Seberang Jaya) umpamanya, tak ternilai harganya, tetapi tak dibangunkan sampai sekarang walaupun wakil PAS yang memimpin jawatankuasa pembangunan wakaf ini.

"Setiap kali nak mesyuarat Perhubungan PAS Negeri, pihak berwajib hanya mampu potong rumput yang mencucuk mata di atas tanah wakaf ini, kerana takut saya bangkit isu yang sama disebabkan wakil yang PAS hantar dalam MAINPP ini bukan pakar bangunkan tanah wakaf ini," tegas Zolkifly yang juga Presiden D'BM Hospital Permatang Pauh.

Sehingga tahun 2014, menurut Zolkifly, tanah wakaf di Pulau Pinang direkodkan seluas 1,837.01 ekar melibatkan 1,555 lot meliputi kelima-lima daerah di negeri ini.

"Semua tanah ini sangat tinggi nilainya kerana berada di kawasan pulau, serta di tepi jalan, seperti di Wakaf Seetee Aisha.

"Umat Islam wajib tanya wakil PAS yang diamanahkan urus tanah wakaf ini, takkan nak kata pentadbiran Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng pula yang halang kerja buat pembangunan tanah wakaf, sedangkan jelas-jelas wakil PAS yang dominasi MAINPP dan ZPP, bukan pemimpin non-Muslim DAP," tegas beliau.

Sebelum itu, Ustaz Taib turut mengulas mengenai isu proses pelantikan Datuk Dr Harun Din oleh Majlis Syura Ulamak (MSU), yang didakwa seakan tidak mengikut perlembagaan parti.

"Masa Datuk Asri (Muda) keluar parti, jawatan presiden parti dipangku oleh Pak Yusuf (Datuk Yusof Rawa) hingga muktamar, bukan lantik terus macam macam dibuat Setiausaha MSU ini.

"Setiausaha MSU, (Datuk) Ustaz Nik Mohamad Zawawi Salleh perlu perjelaskan proses pelantikan Ustaz Harun Din ini dibuat ikut perlembagaan atau tidak, dari segi cukupkah korum ahli mesyuarat MSU, serta ada tak notis 14  panggil mesyuarat dibuat," jelas Ustaz Taib.

Berucap di depan lebih 50 hadirin, Ustaz Taib turut mempertikai kenyataan terbaru Dr Harun Din yang menggesa jawatan Presiden PAS yang kini disandang oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang supaya tidak dicabar oleh sesiapa pun menjelang musim saingan Muktamar PAS pada bulan Jun 2015.

"Ustaz Hadi sendiri kata jawatan Presiden PAS boleh dipertandingkan kerana beliau benar-benar faham ruh musyawarah Islam yang sebenar dalam perlembagaan parti.

"Sepatutnya seorang Mursyidul Am PAS patut dilihat bebas, iaitu tiada kepentingan atau jawatan sama ada dalam politik atau syarikat korporat serta GLC berkepentingan, barulah dilihat ada semacam doktrin pengasingan kuasa semacam sistem pentadbiran negara," respons Ustaz Taib kepada soalan yang dibangkitkan oleh bekas Pengerusi Tetap PAS Kawasan Batu Kawan, Haji Mohamad Kamal Abdullah.

Tegas Ustaz Taib, idea mirip Kerajaan Perpaduan (UG) dengan mengheret PAS bekerjasama dengan Umno seperti di Kelantan, atau percubaan membawa parti keluar daripada Pakatan Rakyat seperti di Pulau Pinang sebelum ini hanya akan memanjangkan 'hayat politik nazak Umno' pada pilihan raya umum akan datang sahaja.

Wakil PAS Kawasan bagi Kepala Batas dan Tasek Gelugor serta Padang Serai turut berdialog secara terbuka dengan wakil PasMa, pada malam tersebut.