16 March 2015

AIM dilantik 'amil' zakat P.Pinang

MOHD. Salleh Man (empat dari kiri) dan Yusoff Haniff (tiga dari kiri) serta dif kehormat lain menyaksikan majlis menukar dokumen MOA Pelantikan AIM Sebagai Amil ZPP, antara Azman Abdul Somat (enam dari kiri) dan Norsharizal Mashahrin (dua dari kiri) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERMATANG PAUH – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dilantik sebagai wakil pemungut zakat atau amil di negeri ini, selepas memeterai satu memorandum perjanjian (MOA) dengan Zakat Pulau Pinang (ZPP) di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato' Mohd. Salleh Man berkata, pemeteraian perjanjian itu sekaligus membolehkan AIM mendapatkan maklumat langsung berwajib mengenai hal ehwal pungutan zakat daripada ZPP sendiri.

"AIM merupakan pihak ketiga yang dilantik sebagai wakil ZPP untuk memungut zakat gaji daripada anggotanya, selepas MoU serupa yang dibuat dengan Pos Malaysia pada tahun 2007 dan ANGKASA (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad) pada tahun lepas (2014).

“Pelantikan AIM ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada semua aspek zakan, khususnya dalam kalangan ahli dan (peserta skim pinjaman mikrokredit) Sahabat AIM untuk mendapatkan maklumat zakat secara langsung daripada pegawai AIM yang dilantik sebagai wakil kutipan Zakat Pulau Pinang,” ujar Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Ahli Lembaga Pengarah AIM, Datuk Yusoff Haniff turut berucap pada majlis tersebut pada Majlis Tandatangan MOA Amanah Ikhtiar Malaysia Sebagai Wakil Kutipan Zakat.

Majlis tanda tangan tersebut dilangsungkan antara Pengurus Besar ZPP, Dr. Azman Abdul Samat dan Pengarah Urusan AIM, Norsharizal Mashahrin.

Justeru, Mohd. Salleh berkata pihaknya lebih banyak badan korporat tampil untuk bersama-sama melakukan kerjasama stategik dalam memungut zakat, sebagaimana dilakukan oleh AIM.

Mohd. Salleh turut mengumumkan jumlah ZPP pada tahun lepas direkodkan mengutip RM82.2 juta zakat harta, dan RM4.2 juta zakat fitrah.

Sementara itu, Yusoff memberitahu, seramai 5,975 orang, terdiri oleh kaum wanita yang menyertai skim pinjaman mikrokredit kendalian AIM di negeri ini.

Daripada jumlah itu, katanya lagi, seramai 2,300 orang Sahabat AIM berkenaan direkodkan berjaya meningkatkan pendapatan kasar bulanan melebihi RM3,500.

“Pembayar zakat daripada kalangan Sahabat AIM yang kita sasar untuk tahun ini seramai 1,500 orang dulu,” ujar Yusoff.

“Sahabat AIM ini khusus untuk wanita sahaja, India ada, Cina ada dan kebanyakannya orang Islam.

“Ibu tunggal, wanita yang susah, media dan ZPP mungkin boleh bawa kepada kita (AIM) untuk kita usaha menyalurkan bantuan pinjaman mikrokredit dan membantu mereka keluar daripada hidup susah mereka,” jelas Yusoff pada sidang media selepas itu.

AIM merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan 28 tahun lepas demi memartabatkan kaum wanita supaya keluar daripada hidup susah, melalui bantuan pinjaman mikrokredit dan khidmad nasihat komersial.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus