06 February 2015

Urus semula Line Clear dengan lesen sah, respons Guan Eng

CHOW Kon Yeow (kanan sekali) menyerahkan lesen penjaja bagi tahun 2015 kepada Abdul Latif Ali Thulkarunai (depan, tiga dari kiri), sambil disaksikan oleh Ketua Menteri (depan, tiga dari kiri), Patahiyah Ismail (dua dari kiri) dan Ang Aing Thye (kiri sekali) serta 'anggota waris keluarga' Line Clear lain di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Thulkarnai S. Naina Mohamed, N. Aisha Kalandar Mustan dan Rahimathollah Naina Mohamed pada 28 tahun lalu menandatangani perjanjian dalam menguruskan perniagaan warung nasi kandar Line Clear di sini secara bergilir-gilir setiap tahun, sehinggalah pengusaha berlesen terkini, Abdul Hamid Seeni Pakir merujuk perbalahan berkeluarga sesama mereka untuk mengendalikan gerai makan 24 jam itu ke mahkamah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menyerbu serta mengosongkan Line Clear sekitar jam 4.00 pagi hari kejadian baru-baru ini susulan mendapati pengendalinya berniaga tanpa lesen berwajib bagi tahun 2015.

Justeru, katanya lagi, Kerajaan Negeri tidak pernah berhasrat menutup terus Line Clear, tetapi, mahu warung nasi kandar diurus oleh pemegang lesen yang sah sahaja.

“Tindakan penguatkuasaan MPPP itu berdasarkan Undang-Undang Kecil Penjaja 1979, dan saya pun tidak faham mengapa perkara ini telah bertukar menjadi satu isu yang menghentam Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri tiada minat untuk mencampuri isu perbalahan keluarga ini dan biarlah ia diputuskan oleh mahkamah saja,” tegas Guan Eng pada sidang media di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dato' Ar. Patahiyah Ismail (Yang di-Pertua MPPP) dan Ir. Ang Aing Thye (Setiausaha MPPP), serta Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff (ahli korporat) turut menyertai sidang media tersebut. 

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang mana-mana operasi perniagaan yang mengikut peraturan atas sentimen kaum atau agama sebagaimana digambarkan oleh pihak pembangkang Pulau Pinang, apatah lagi seperti warung Line Clear yang berusia lebih 60 tahun dan menjadi salah satu ikon pelancongan makanan di negeri ini.

Justeru, katanya, MPPP bersetuju memberikan lesen penjaja khas untuk tahun 2015 sahaja atas nama 
Abdul Latif Ali Thulkarunai sehinggalah ada suatu deklarasi baru daripada mahkamah. 

Sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, Abdul Latif berkata, pihaknya bersedia berkongsi hasil keuntungan dengan tiga pihak berwajib yang lain, sebagaimana dalam perjanjian penggiliran berkeluarga untuk tahun ini.

Dalam dokumen yang ditandatangani Thulkarnai S. Naina Mohamed, N. Aisha Kalandar Mustan dan Rahimathollah Naina Mohamed pada 28 tahun lepas, perjanjian mengesahkan ketiga-tiga mereka berhak sebagai pemilik berdaftar gerai jalanan di lorong sebelah 161 Penang Road.

Dokumen menunjukkan tiga pihak setuju dengan terma penggiliran, iaitu setiap pihak akan menguruskan dan menyelenggara kedai setahun sekali bermula 1 Januari 1988 bermula dengan Thulkarnai, diikuti Aisha, dan Rahimathollah.

Dokumen juga mengandungi perjanjian bagaimana kerja pembaikan perlu dibayar.

Pengusaha terkini adalah Abdul Hamid Seeni Pakir, dan anak lelakinya Hashim Abdul Hamid dilaporkan enggan memberikan komen ketika diminta menunjukkan dokumen berwajib.

Pun begitu, Abdul Hamid mengaku bahawa dirinya sebagai salah seorang saksi dalam dokumen tersebut, yang membabitkan ketiga-tiga penama berkenaan.

Malah, Abdul Hamid turut dilaporkan mengaku datuknya, Seeni Pakeer sebenarnya memulakan gerai menjual nasi dan makanan ala India-Muslim di lorong yang dahulunya dinamakan Lorong Jamban, kerana berdekatan dengan tandas awam yang terletak di hujung lorong.

Selepas itu, jalan bersejarah itu secara tidak rasmi dinamakan pula sebagai Lorong Seeni Pakeer Coffeeshop, sebelum dinamakan N Aishah Nasi Kandar dan kemudian, Line Clear.

Restoran itu pernah dikunjungi oleh chef Anthony Bourdain pada tahun 2012, terkenal secara tradisi kerana juruwang akan berteriak "line clear" selepas pelanggan selesai makan dan membayar makanan.

MPPP, pada 2 Jun tahun lalu mengeluarkan Lesen Penjaja Gerai Lorong berkata, pihaknya akan mengeluarkan semula lesen tapak bagi memastikan gerai itu beroperasi mengikut undang-undang.

Pengarah bahagian perlesenan MPPP, Azman Sirun berkata, lesen diberikan kepada tiga individu pada tahun 2012 untuk menjalankan aktiviti komersial.

Tiga yang terlibat adalah Abdul Latiff Thulkurnai, Sahubarali China Mohd Hanibah dan Pathumah Iskandar, ketiga-tiganya sepupu, dan mempunyai kaitan dengan tiga individu yang menandatangani perjanjian asal pada tahun 1987.

Bagaimanapun Azman berkata, pemegang lesen tidak boleh menjalan perniagaan kerana kawasan lorong itu sudah dikuasai Abdul Hamid.

Tambah Azman, Sahubarali yang sepatutnya mengambil alih operasi pada tahun 2011 lagi, tetapi, tidak dapat haknya kerana Abdul Hamid enggan menyerahkan hak penggiliran sehingga ke hari ini.

Justeru, serbuan baru-baru ini dibuat kerana MPPP berniat untuk mengambil alih tapak dengan mengosongkan kawasan sedia ada Line Clear, selain, mahu menyusun semula aktiviti perniagaan gerai selaras dengan undang-undang yang baru dikuatkuasakan.

Azman berkata, serbuan baru-baru ini di Line Clear juga demi memastikan tahap kebersihan dan penjagaan makanan kembali dipelihara.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus