Skip to main content

Rakyat paling untung, respons dua YB P.Pinang isu pilihan raya Kerajaan Tempatan

(Dari kiri) DATUK Mansor Othman (bekas timbalan ketua menteri I), Lim Guan Eng, Tommy Thomas (peguam mewakili Kerajaan Pulau Pinang) dan P Ramakrishnan (bekas Presiden Aliran selaku plaintif) pada 11 Mac 2013 mengfailkan petisyen pemula di Mahkamah Tinggi Persekutuan dekat Putrajaya.

ENAKMEN Pilihan Raya Kerajaan Tempatan bagi mengadakan pilihan raya ahli majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2012 mendapat reaksi mencemaskan banyak pihak.

Pemimpin tertentu Pembangkang Pulau Pinang seakan menyemarakkan semula dakyah kononnya langkah mengadakan semula pilihan raya peringkat Kerajaan Tempatan hanya akan mencetuskan peristiwa perbalahan kaum 13 Mei 1969.

Walhal, pilihan raya Kerajaan Tempatan kali terakhir diadakan adalah pada tahun 1964, iaitu kira-kira lima tahun sebelum tercetusnya 'tradegi hitam' 13 Mei.

Malah, dikatakan, iltizam demokratik untuk mengadakan semula pilihan raya Kerajaan Tempatan di negeri ini dikatakan bukanlah konsesus bersama ketiga-tiga parti yang menunjangi penubuhan Kerajaan Negeri sejak Mac 2008 hingga kini.

Fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB cuba mendapatkan respons lanjut mengenai isu berbangkit ini daripada Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, serta Wong Hon Wai, iaitu Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri sendiri.

CHOW Kon Yeow
Kon Yeow berkata, idea mengadakan semula pilihan raya Kerajaan Tempatan ini digerakkan secara langsung oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas berlaku peralihan kuasa Kerajaan Negeri, pada bulan Mac 2008.

“Inisiatif ini susulan desakan NGO sendiri selepas Kerajaan Negeri yang baru ditubuhkan, tetapi, di Pulau Pinang nampaknya mereka senyap-senyap sahaja apabila kita dikecam kerana ingin memulihkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

“Kita bersetuju kerana rakyat paling untung jika pilihan raya Kerajaan Negeri diadakan semula di seluruh negara, bukan sahaja di Pulau Pinang kerana rakyat adalah pembayar cukai.

Kita memang mengotakan janji pilihan raya (Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12), dengan membawa draf pilihan raya Kerajaan Tempatan ke DUN (Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) hingga menjadi Enekmen,” ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota baru-baru ini.

Kon Yeow bagaimana pun berkata Kerajaan Negeri hari ini masih mempunyai insiatif secara politik, walaupun Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012 telahpun dideklarasikan sebagai “ultra-vires” di peringkat Mahkamah Persekutuan, susulan ditolak oleh Kerajaan Pusat pada beberapa tahun lepas.

“Jalan rundingan dengan Kerajaan Pusat telahpun dilakukan dan jalan perundangan dilakukan sejauh itu pun masih belum berjaya.

“Tetapi, kita yakin bahawa jalan politik di peringkat persekutuan melalui proses pilihan raya umum nanti masih ada untuk rakyat membuat pilihan,” jelas Kon Yeow lagi.

Di pejabatnya, Kon Yeow menunjukkan beberapa data mengenai demografi penduduk Melayu dan bukan Melayu bagi 49 pihak berkuasa tempatan (PBT) di tanah air ini.

Kesemua PBT itu adalah tiga bertaraf majlis bandar raya bagi Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching Utara, sembilan majlis perbandaran dan 37 majlis daerah.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah kemajmukan kaum, dengan populasi Melayu berjumlah 49 peratus melebihi Cina (42.3 peratus), serta selebihnya India (10.3 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus).

Katanya, hanya empat PBT dengan populasi didominasi Cina.

Pertama, kawasan Johor Bharu Tengah yang populasinya terdiri oleh 38.8 peratus Melayu, Cina (47.2 peratus), India (13.4 peratus) dan lain-lain (0.6 peratus).

Kedua, kawasan Ipoh yang terdiri oleh 39.8 peratus Melayu, Cina (45.5 peratus), India (14.5 peratus) dan lain-lain (0.2 peratus).

Ketiga, kawasan Subang Jaya yang terdiri oleh Melayu (42.3 peratus), Cina (44.7 peratus), India (12.4 peratus) dan lain-lain (0.6 peratus).

Keempat, kawasan Teluk Intan yang terdiri oleh 38.8 peratus Melayu, Cina 39 peratus, India (22 peratus) dan lain-lain (0.2 peratus).

39 PBT lain yang mempunyai populasi Melayu adalah mojoriti, termasuk dua dewan bandar raya bagi Kota Kinabalu (70.4 peratus), dan Kuching Utara (84.8 peratus); enam daripada sembilan majlis perbandaran bagi Johor Baru (54.1 peratus), Alor Setar (76.9 peratus), Melaka (60.6 peratus), Shah Alam (71.1 peratus), Kuala Terengganu (96.2 peratus); serta 31 daripada 37 majlis daerah termasuk Batu Pahat (53.4 peratus), Pasir Gudang (91.4 peratus), Muar (54 peratus), Sungai Petani (66.2 peratus), Kulim (63.6 peratus), Seremban (50.9 peratus), Kuantan (78.5 peratus), Temerloh (75.7 peratus), Taiping (53.4 peratus), Kangar (88.4 peratus), Klang (50.7 peratus), Dungun (97.3 peratus) dan Kemaman (95.2 peratus).

“Cakap-cakap pilihan raya Kerajaan Tempatan akan mengakibatkan semua PBT dikuasai Cina itu hanya tanggapan yang salah, mungkin berdasarkan pengetahuan pada era 1940-an atau 1950-an, di mana hanya Cina digambarkan mendiami pekan-pekan, manakala Melayu dan India masing-masing masih tinggal di kampung-kampung dan ladang-ladang.

“Berdasarkan demografi dan populasi penduduk yang mampu dicapaian sekarang sebenarnya menunjukkan bahawa hanta tiga PBT di negara ini dengan mojoriti Cina, iaitu Sibu (63.4 peratus), Kuching Selatan (62.5 peratus) dan (Majlis Perbandaran) Pulau Pinang (62.5 peratus),” jelas Kon Yeow lagi, sambil memberitahu bahawa semua populasi tersebut berdasarkan bancian 2010.

WONG Hon Wai
Bagi Hon Wai pula, Malaysia pada era 1950-an dan 1960-an sebenarnya telahpun diiktiraf berada di landasan perkembangan politik dunia, apabila proses pilihan raya peringkat Kerajaan Tempatan telahpun diadakan di tanah air ini semasa itu.

“Menafikan hak tiap-tiap rakyat Malaysia untuk kembali menggunakan kuasa undi ketiga sekarang ini seperti sebelum era 1960-an dulu adalah langkah terkebelakang dalam proses demokrasi global,” jelas Hon Wai yang juga ADUN Air Itam. Bagi Hon Wai, penafian kuasa ketiga melalui pilihan raya 
Kerajaan Tempatan di seluruh negara sebenarnya lebih menguntungkan parti-parti yang mendominasi Kerajaan Pusat sahaja, berbanding rakyat.

Katanya lagi, rakyat yang membayar cukai peringkat PBT akan lebih untung kerana kuasa undi ketiga mereka akan membentuk Kerajaan Tempatan, bukan lagi Kerajaan Pusat yang selama ini mengamalkan pemusatan kuasa secara berlebih-lebihan melalui konsep federalisme.

“Dulu, MPPP ada bas sendiri, tetapi permohonan lesen pengangkutan awam untuk mewujudkan bas percuma di seluruh Pulau Pinang kini tidak diluluskan oleh Kerajaan Pusat, dan inilah yang dimaksudkan dengan pemusatan kuasa secara berlebih-lebihan di peringkat Pusat.

“Sepatutnya PBT diberikan kuasa yang lebih untuk meluluskan lesen teksi, lesen bas dan hal perbandaran dengan dipantau oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, barulah unsur-unsur tempatan yang dihasratkan oleh rakyat sebagai pembayar cukai boleh direalisasikan secara berperingkat.

“Permohonan lesen persendirian adalah kehendak utama majoriti pemandu teksi serta Persatuan Gabungan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang sendiri, tetapi pusatan kuasa daripada Kerajaan Pusat lebih selesa mengeluarkan lesen (berkelompok) melalui syarikat-syarikat teksi tertentu.

“Pemandu teksi di Pulau Pinang lebih untung kerana diberi sembungan RM300 sebanyak dua kali tiap-tiap tahun sekarang kerana kehendak mereka lebih didengar oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Apa yang saya nak sebutkan di sini adalah ideanya bukan hanya mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan sahaja, tetapi merealisasikan proses disentralisasi kuasa kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan di seluruh negara,” respons Hon Wai lagi.

Menurut Hon Wai, proses desentralisasi akan mengukuhkan maksud sebenar konsep federalisme, iaitu Kerajaan Pusat mengagihkan kuasa serta kewangan secara lebih adil kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan demi membolehkan mereka menguruskan tanggungjawab masing-masing secara lebih saksama, cepat serta realistik sebagaimanan dikehendaki rakyat setempat.

“Percayalah bahawa amalan desentralisasi yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri hari ini dengan mengembalikan kuasa ketiga melalui pelaksanakan pilihan raya Kerajaan Tempatan akhirnya akan menguntungkan rakyat terbanyak, iaitu sebagai pembayar cukai,” jelas Wong Hon Wai lagi, senada dengan Kon Yeow.