KETUA Menteri (empat dari kiri) bersama-sama Lim Hock Seng (dua dari kiri) diberi penjelasan mengenai cadangan 3 projek penarafan jalan berhampiran SJKC Kwong Hwa di sini baru-baru ini. |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
BAGAN JERMAL - Agenda pembangunan infrastuktur yang dikehendaki rakyat di Pulau Pinang mesti mampu direalisasikan secara berperingkat, supaya Kerajaan Negeri hari ini tidak dilihat sebagai 'retorik' semata-mata semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menggesa pemimpin Kerajaan Negeri di semua peringkat supaya menggandakan usaha demi memastikan mutu hidup rakyat terbanyak di negeri ini kian selesa.
“Kalau tak buat kerja dan hanya retorik kosong, akhirnya rakyat bukan sahaja boleh lihat dengan mata sendiri, malah akan tolak satu-satu kerjaaan yang tak mampu memerintah itu.
“Ini kerana, rakyat akan membuat keputusan (mengundi) berdasarkan kerja yang dibuat,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan, selepas meninjau kawasan cadangan pemajuan berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kwong Hwa di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekharan dan Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud.
Dalam nada kebimbangan, Guan Eng berkata, Kerajaan Kelantan pun wajar lebih agresif dalam agenda memulihara semula infrastruktur asas negeri pasca bencana banjir baru-baru ini, supaya terus mendapat mandat rakyat terbanyak pada pilihan raya umum akan datang.
“Macam di Pulau Pinang pun, kita pun dilanda ribut kencang baru-baru ini, dan Kerajaan Negeri dalam masa kurang 24 jam negitu agresif membaiki sistem perhubungan dan jalan-jalan utama, serta menyalurkan bantuan bencana, kerana kita (Kerajaan Negeri) takut rakyat, khususnya di (kawasan Parlimen) Balik Pulau mula melihat kita terlalu retorik sampai tak mampu selesai masalah rakyat dalam tempoh yang paling cepat.
“Macam tiga projek pelebaran jalan dan menaiktaraf jalan-jalan pintas dan jambatan berdekatan Taman Melor dan Jalan Mohd. Saad dalam Kawasan Parlimen Bagan yang diumumkan pada pagi ini pun, untuk membuktikan Kerajaan Negeri hari ini lebih mampu berbanding kerajaan yang dulu,” jelas Guan Eng.
Difahamkan, Kerajaan Negeri bercadang untuk membina sebuah jambatan 20 kaki lebar dan 16 kaki panjang, yang dianggarkan menelan belanja RM60,000.
Dua projek lain adalah penarafan jalan-jalan pintas sepanjang 60 kaki dari Pangsapuri Melor ke Tingkat Melor, serta pelebaran jalan belakang Taman Melor ke Jalan Mohd. Saad sepanjang 300 kaki.
“Anggaran kos bagi ketiga-tiga projek berkenaan adalah RM300,000, dengan tender terbuka kendalian MPSP, dan dijangka siap sebelum buka sekolah tahun depan,” jelas Guan Eng lagi.
No comments:
Post a Comment