Skip to main content

"Patut tanya Iskandar, kenapa musuhi PasMa?" respons Phahrolrazi

Keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 19 Februari 2015, yang direspons oleh Phahrolrazi Mohd Zawawi, semalam.

Akhbar Sinar Harian hari ini antara lain melaporkan kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Dato' Iskandar Abdul Samad yang bertanya, "Siapa musuh PasMa, PAS atau Umno?"

Sepatutnya saya yang bertanya Iskandar soalan itu, kenapa beliau memusuhi PasMa?

Mengapa bermusuh dengan kerja buat PasMa yang jejas mahu mengukuh sokongan rakyat terbanyak pada kerjasama PAS bersama DAP dan PKR selama ini?

Sepatutnya ahli PAS yang menyertai PasMa tidak dilayan dingin oleh kepemimpinan parti hatta beliau sendiri.

Ini kerana, fokus PasMa adalah mengukuhkan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat, sekaligus menolak kezaliman Umno BN selama ini.

Menolak kezaliman Umno adalah kerja buat PAS sebelum ini, maka sepatutnya fokus PasMa menolak kezaliman Umno BN tidak dilayan dingin oleh Iskandar jika beliau jujur menentang kezaliman Umno.

Pakatan Rakyat melalui PKR dan DAP boleh menyambut kerja buat PasMa, mengapa beliau masih menganggap PasMa bermusuhan dengan PAS pula?

Setahu saya, ada pemimpin PAS seperti Timbalan Presiden Tuan Haji Mohamad Sabu diboikot oleh segelintir anggota PAS yang anti Pakatan Rakyat dengan keluar dewan beramai-ramai dalam program parti, sebelum ini.

Dalang sabotaj ini bermusuh dengan Pakatan Rakyat atau Umno? Itu, yang Iskandar patut jawab dulu.

Di Terengganu dan Kelantan, pelbagai ugutan diterima oleh penganjur untuk sabotaj dewan yang ditempah untuk program rasmi PasMa.

Iskandar mungkin boleh bertanya kepada segelintir puak anti Pakatan Rakyat dalam PAS juga, musuhnya PasMa atau Pakatan Rakyat?

Apabila pemimpin utama PAS peringkat Pusat dan negeri dilarang duduk sepentas dengan pemimpin PasMa, PKR dan DAP dalam beberapa forum terbuka sebelum ini, saya sendiri ingin bertanya Iskandar, musuh sebenar PAS adalah PasMa serta Pakatan Rakyat atau Umno BN?

Iskandar wajar jujur menjelaskan kepada akar umbi parti Islam berkenaan. Musuh sebenar PAS sebenarnya  PasMa atau Umno, jika beliau sendiri jujur mahu mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"...dan, apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan..." [Surah Al-An'am: 152]

PasMa akan terus mengukuhkan sokongan rakyat terhadap PAS, PKR dan DAP yang menjadi tonggak utama Pakatan Rakyat.

Iskandar mahu PasMa terus dimusuhi PAS atau membantu PasMa memusuhi kezaliman Umno BN?

Sekian.

DATO' PHAHROLRAZI MOHD. ZAWAWI
Pengerusi PasMa

19 Februari 2015 | Kuala Kedah