Skip to main content

Multaqa' Ulamak takut tegur Ahmad Yaakub berkawan PEKIDA ekstrem

PASMA INGAT AHMAD YAAKUB PERGI SERTAI PROGRAM EKSTREM PEKEDA KELANTAN BERANI DINASIHAT OLEH MULTAQA' ULAMAK

22 Februari 2015 |  Permatang Pauh

Saya pun ada terbaca berita ketegasan Pamangku Ketua Urusan  Ulamak PAS Pusat, YAB Datuk Ahmad Yaakub dalam majlis Multaqa' Ulamak pada Sabtu lepas, yang mahu parti masa depan itu memerangi PasMa.

Katanya, PasMa berfahaman liberal dengan menyerang dasar PAS, hatta dituduh merosakkan parti dari dalam.

Telah lama PAS mengamalkan kaedah 'muwajahah silmiyah' (pendekatan keamanan) dengan menyertai proses demokrasi berpilihan raya, walaupun ada zahir nas al-Quran yang mewajibkan perang bunuh-membunuh atas tujuan menghilangkan fitnah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah..." [Surah Al-Baqarah: 193]

Dalam konteks demokrasi di Malaysia, Ahmad Yaakob akan menggamit fitnah yang baru seperti Islam dilihat sebagai ganas, sekiranya mahu PAS berpegang pada faham literal nas yang menuntut 'wajib berperang'.

Sesungguhnya, perang itu sendiri bukan satu-satunya kaedah untuk menghilangkan fitnah, sebaliknya merupakan salah satu cara untuk menghentikan kezaliman sehinggalah menaikkan satu-satu kepemimpinan yang berkualiti.

Sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama keamanan, sebenarnya ada banyak lagi kaedah keamanan seperti dialog, debat ilmiah, musyawarah, seminar dan banyak lagi.

Bukan kerja buat PasMa mengukuhkan doktrin melampaui seperti melarang hampir lima juga penyokong Pakatan Rakyat untuk tidak menasihat atau mengkritik kepemimpinan oposisi ini, atas sentimen ulamak dan sebagainya.

Fokus PasMa adalah mengukuhkan sokongan hampir 5 juta pengundi PRU13 kepada kerjasama PAS, DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat hingga ke PRU14, dan kita ambil semua kaedah 'muwajahah silmiyah' seperti di atas ini.

Sebab itu, saya ingat multaqa' ulamak PAS semalam berani untuk mengambil kaedah 'muwajahah silmiyah' yang PAS amalan selama ini, dengan pergi menegur tindak-tanduk Ahmad Yaakub yang pergi merasmi program pertubuhan pelampau PEKEDA di Kelantan baru-baru ini.

Tindak tanduk Ahmad Yaakub itu hanya mengakibatkan amalan 'muwajahah silmiyah' kian terhakis dalam jamaah, hatta 5 juta pengundi Pakatan Rakyat tidak mustahil akan melihat PAS pun seperti Umno yang turut menyokong politik ekstrem PEKEDA.

Implisitnya, Ahmad Yaakub bukan sahaja mendatangkan fitnah yang baru sampai keburukan imej Islam sebagai agama sederhana, bahkan turut memusnahkan imej  'muwajahah silmiyah' yang selama ini diamalkan oleh PAS, disebabkan perasaan tidak senang beliau dengan kerja buat PasMa.

Kalau ghairah dengan janji kosong Umno BN yang kononnya akan menguntungkan PAS di PRU14 sekalipun, janganlah mengheret ulamak untuk 'berperang' dengan PasMa, yang nyata akan memburukkan lagi imej Islam dan imej PAS.

PasMa yang pro Pakatan Rakyat mahu diperangi, manakala, PEKEDA yang ekstrem bersama Umno mahu didampingi di Kelantan?

Itu, biar Ahmad Yaakub perjelaskan kepada akar umbi PAS, khususnya mereka yang menyertai multaqa' ulamak.

Mengapa Ahmad Yaakub mahu PasMa diperangi pula, sedangkan Rasulullah SAW sendiri bersabda yang bermaksud, "agama (Islam) adalah nasihat."?

Sekian.

#KitaLawan

ZAINULFAQAR YAACOB
Timbalan Pengerusi II
PasMa Pulau Pinang

+60194241583
zainulfaqary@gmail.com
faqar.blogspot.com