Skip to main content

RM12.6 juta agar JKKK tingkat mutu pelanggan

KETUA Menteri (depan, dua dari kiri) diiringi Anwar Ibrahim (depan, tiga dari kiri), Mohd. Rashid Hasnon (depan, dua dari kiri), Lim Hock Seng (depan, paling kiri) dan Amir Md. Ghazali (depan, paling kanan) bergambar dengan anggota JKKK bagi Kawasan Parlimen Permatang Pauh di sini baru-baru ini.

BAYAN LEPAS - Mutu 291 perkhidmatan Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri ini wajar dipertingkatkan memandangkan Kerajaan Negeri pada tahun ini meluluskan sejumlah RM12,594,480, termasuk untuk kenaikan elain Pengerusi, Setiausaha serta elain kehadiran mesyuarat berwajib jawatankuasa berkenaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membuat gesaan sedemikian pada Majlis Penyampai Watikah Pelantikan JKKK Penggal 2015/2016 bagi Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya di sini baru-baru ini.

“Jadilah pemimpin masyarakat yang mampu menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kerajaan Negeri mahu JKKK menjadi perantaraan antara kerajaan dengan rakyat dan sebaliknya,” tegas beliau pada pada majlis tersebut.

Tambah Guan Eng, JKKK juga seharusnya mencari jalan untuk mengupaya pergerakan Briged Wanita Pulau Pinang di kawasan masing-masing, dengan melantik sekurang-kurangnya seorang wanita dalam jawatankuasa komuniti berkenaan.

“Kerajaan Negeri mengharapkan sekurang-kurangnya 15 wanita dilantik sebagai Pengerusi JKKK pada masa hadapan.

“Ini, bukan sahaja membuktikan kita memartabatkan wanita tetapi juga meyakini sifat kepimpinan yang dimiliki oleh mereka,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dalam ucapannya mengingatkan kesemua JKKK yang dilantik supaya menyempurnakan kerja-kerja 'profiling' data demografi serta kemudahan asas berwajib dalam masa 100 hari pertama ini, demi memudahkan proses khidmat pelanggan kelak.

“JKKK bukan sahaja merupakan mata dan telinga Kerajaan Negeri tetapi juga menjadi jentera penting dalam memastikan kelancaran pentadbiran,” kata Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak.

Terdahulu, Guan Eng turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Warikan Pelantikan JKKK bagi tiga daerah lain, iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya menggesa Kerajaan Pulau Pinang supaya belajar daripada kelemahan Kerajaan Pusat melalui Majlis Keselamatan Negera (MKN) dalam memulihkan semula perbandaran Kelantan pasca bencana 'bah merah' baru-baru ini.

“Kita harus tegas menegur sama ada (Kerajaan) Persekutuan atau (Kerajaan) Negeri yang ada kelemahan dalam menguruskan bencana tersebut.

“Macam Pulau Pinang yang Alhamdulillah terpelihara daripada bencana teruk seperti di Kelantan, Pahang, Terengganu, beberapa kawasan di Perak seharusnya belajar untuk meningkatkan keupayaan kita, termasuk peringkat JKKK dalam menyelesaikan masalah bencana ini dengan lebih cepat dan berkesan,” ujar Anwar yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JKKK Peringkat Seberang Perai.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Amir Md. Ghazali.