Oleh:
ZAINULFAQAR YAACOB
DATUK KERAMAT -
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan Pulau Pinang,
Jagdeep Singh Deo berkata, risiko bencana seperti 'bah merah' di
Kelantan baru-baru ini mungkin boleh dikurangkan sekiranya Kerajaan
Pusat menyalurkan peruntukan untuk projek tebatan banjir berwajib
mengikut jadual pentadbiran yang ditetapkan.
Menurut Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkenaan, Pulau Pinang sendiri
masih belum menerima peruntukan tebatan banjir yang telahpun
diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) daripada Putrajaya,
walaupun RMK10 dijadual berakhir pada bulan Mei depan.
Katanya lagi, perkara
berbangkit tersebut sekaligus mengakibatkan rancangan Kerajaan Pulau
Pinang untuk memperluas serta memperdalam sungai dari Sungai Pinang
ke Sungai Air Itam di bawah Fasa Dua Projek Tebatan Banjir Sungai
Pinang yang menelan belanja RM150 juta turut tergendala.
“Kerajaan Pusat perlu
mengambil langkah yang lebih holistik untuk menangani masalah banjir
ini, kerana ini adalah masalah berbangkit sejak dahulu lagi.
"Saya amat marah
kerana terdapat 22 projek tebatan banjir di seluruh Malaysia yang
menelan belanja lebih daripada satu bilion Ringgit Malaysia,
antaranya ialah di Pantai Timur.
“Kerajaan Pusat perlu
memberi keutamaaan pada masalah ini, tetapi mereka seolah-olah begitu
sibuk dengan pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan
sebagainya,” tegas Jagdeep semasa berucap pada majlis rumah terbuka
Hari Natal dan Tahun Baru 2015 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN)
Datuk Keramat di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, Kerajaan
Pusat melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepatutnya segera
memindahkan keupayaan kewangan, tenaga manusia serta kepakaran
Putrajaya untuk usaha-usaha memulihkan semula Kelantan pasca banjir,
bukannya asyik cakap-cakap politik menerusi media semata-mata.
Tambah Jagdeep,
pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya
segera mengumumkan pelan pemulihan pasca bencana banjir dengan lebih
jelas untuk Kelantan, seperti rancangan membina semula sistem jalan
raya yang lebih selamat serta pemajuan rumah mampu milik secukupnya
untuk seluruh mangsa bencana di negeri tersebut.
Jagdeep turut
mencadangkan Kerajaan Pusat mengemukakan rancangan persiapan
menghadapi bencana seperti diamalkan di negara-negara maju,
memandangkan kebarangkalian malapetaka seperti 'Bah Merah' di
Kelantan sudah mampu diramal menggunakan peralatan teknologi tinggi,
kini.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Pulau Pinang pada Disember tahun lepas telahpun meluluskan Bajet 2015 berjumlah RM13.9 juta serta tambahan RM10 juta lagi untuk projek tebatan banjir serta menaik taraf sistem perparitan, demi mengurangkan risiko bencana di negeri ini kelak.
No comments:
Post a Comment