29 January 2015

NST tiada 'tanggungjawab kolektif' seperti Malaysiakini, kata Guan Eng

LIM Guan Eng sejurus selesai perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang tengah hari tadi dilihat seakan diburu para wartawan untuk mendapatkan respons mengenai cabaran debat daripada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, semalam.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengaku bahawa New Straits Times tidak mengamalkan 'tanggungjawab kolektif' kerana menyiarkan berita yang bertarikh 3 Disember tahun lepas tersebut, berdasarkan aduan sebelah pihak sahaja.


Guan Eng selaku plaintif pertama berkata, portal berita Malaysiakini.com umpamanya dilihat lebih adil dalam melaporkan insiden samseng mengganggu menyuarat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut, kerana turut memetik maklum balas daripada Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy.

“Artikel ini (Indian-interest group claims thugs interrupted meeting) berbeza, kerana Malaysiakini turut memasukkan dua perkara besar, bukan seperti laporan berita NST.

“Pertama, dimasukkan perkataan 'allegedly' (didakwa) yang tidak ditulis dalam laporan NST. Kedua, Yang Arif, adalah mereka (NST) tidak terlebih dahulu mendapatkan maklum balas daripada Prof. Ramasamy, seperti dilakukan oleh Malaysiakini.

“Ini, 'tanggungjawab kolektif', di mana respons kedua-dua belah pihak dilaporkan dalam Malaysiakini,” jelas Guan Eng di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, tengah hari tadi.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan peguam defenden, Keong Wai Hong.

Menurut Guan Eng, NST sekurang-kurangnya perlu mendapatkan respons pihak yang terbabit, iaitu Ramasamy sekiranya tidak dapat menghubungi dirinya, sebelum mengaitkan kedua-dua mereka secara langsung dengan aktiviti samseng tersebut.

“Tiada komen itu adalah komen,” respons Guan Eng lagi kepada Wai Hong, sebelum disoal balas oleh peguam plaintif, Dato' N. Murali.

Ramasamy sebagai plaintif kedua turut memberi keterangan, sebelum Pesuruhjaya Kehakiman YA Dato' Azmi Ariffin menetapkan bahawa perbicaaan bersambung pada 5 dan 6 Mei depan, mulai jam 11.00 pagi.

Wartawan NST, Preedep Nambiar selaku defenden, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) R.S.N. Rayer yang juga pengamal undang-undang turut hadir mengikuti proses perbicaraan tersebut.

Terdahulu, NST dalam beritanya pada 3 Disember tahun lepas antara lain mengaitkan Guan Eng bersama-sama Ramasamy menghantar samseng untuk menghentikan mesyuarat sebuah NGO.

Dalam laporan NST, jurucakap Warga Prihatin Masyarakat India, N. Ganeson mendakwa sekumpulan samseng telah mengganggu mesyuarat NGO mereka.

Katanya lagi, kumpulan samseng itu mengugut mencedera dan menghalang petisyen mengenai isu tempat pembakaran mayat dekat Batu Lanchang daripada dihantar kepada Kerajaan Negeri.

Sambil menyelar kenyataan fitnah itu, Guan Eng dalam satu kenyataan media menegaskan Kerajaan Negeri tidak pernah menggunakan samseng dalam apa jua perkara.

Malah, Guan Eng bukan sahaja mendakwa laporan tersebut berniat jahat, bahkan, beliau turut menyatakan hasrat untuk menyaman NST.

Perbicaraan hari pertama semalam ditangguhkan ke hari ini, selepas pihak pendakwaan memohon untuk membuat pengesahan kesahihan transkrip kenyataan media Guan Eng terlebih dahulu, sebelum proses perbicaraan dilangsungkan.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus