27 January 2015

Harap semakan kehakiman beri keadilan kepada PPS, kata Guan Eng

LIM Guan Eng bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri serta anggota PPS pada sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dekat George Town, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Fail semakan kehakiman yang dibuat pagi ini berhubung pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengharamkan penubuhan Pertubuhan Peronda Sukarela (PPS) di bawah Kerajaan Negeri diharap dapat memberi keadilan kepada 157 mangsa tangkapan polis.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pengumuman Ahmad Zahid yang dibuat kira-kira dua bulan selepas insiden tangkapan beramai-ramai 157 anggota PPS terbabit pada 31 Ogos tahun lepas adalah tidak mengikut prinsip keadilan sejagat.

“Kalau nak ambil tindakan, buat perintah dahulu dan barulah ambil tindakan.

“Permohonan (semakan kehakiman) ini diharap dapat mengembalikan keadilan untuk semua ahli PPS, lebih-lebih lagi apabila perintah pengharaman dibuat selepas 157 ahli PPS ditahan,” ujar Guan Eng kepada wartawan selepas selesai proses mengfail semakan kehakiman berwajib di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) turut menyertai sidang media tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer dan Ramkarpal Singh, yang masing-masing merupakan peguam.

Guan Eng memberitahu Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh selaku Pengerusi PPS akan bertindak sebagai plaintif, mewakili Kerajaan Negeri.

Wakil kepada tiga pihak defenden, iaitu Menteri Dalam Negeri, Ketua Inspektor Polis dan Kerajaan Malaysia sebagaimana dinamakan dalam fail afidavid Kerajaan Negeri masing-masing tidak kelihatan di sini.

Menurut Guan Eng, peguam yang akan mewakili Boon Poh kemungkinan adalah Dato' S. Amibga, Dato' Malik Imtiyaz Sarwar, Tommy Thomas dan Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Terdahulu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos tahun lepas mendakwa kewujudan PPS adalah bersalahan dengan undang-undang, kerana tidak pernah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan, 1966.

Dakwaan itu, selepas insiden ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51, mengaku diserang oleh dua lelaki berpakaian seragam PPS di Air Itam baru-baru ini.

Seramai 157 anggota PPS kemudiannya ditangkap pada 31 Ogos tahun lepas, sejurus selesai menyertai perarakan rasmi Sambutan Hari Merdeka Peringkat Negeri di Padang Kota Lama di sini, sebelum direman semalaman dalam lokap polis.

Guan Eng dalam beberapa kenyataannya menegaskan bahawa PPS ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri serta tidak perlu didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS), seperti amalan menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di Pulau Pinang serta di negeri-negeri lain sebelum ini.

Guan Eng kemudiannya mengumumkan keputusan rasmi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, iaitu 'merehatkan' keseluruhan operasi PPS sehingga ada deklarasi daripada mahkamah.

Pada 4 November tahun lepas, Ahmad Zahid mengumumkan PPS sebagai pertubuhan haram, serta mengarahkan aset rasmi pasukan sukarelawan tersebut dirampas.

Sehari kemudian, Guan Eng pula mengumumkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengfailkan semakan kehakiman (judicial review) ke atas Ahmad Zahid dan dua pihak lain, atas pengumuman Menteri berkenaan yang didakwa berniat jahat atau mala-fide.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus