Skip to main content

660 murid terpilih terima sumbangan pendidikan MP Bagan


KETUA Menteri menyantuni seorang murid, sambil perhati oleh Phee Boon Poh di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyeru ibu bapa supaya terus memberi didikan kepada anak-anak untuk memburu kejayaan dalam akademik di sekolah.

Katanya, kecemerlangan akademik merupakan salah satu jalan untuk anak-anak ini mengubah masa depan keluarga agar lebih selesa kelak.

“Pada hari ini, 30 pelajar dipilih daripada tiap-tiap sekolah, 660 murid-murid keseluruhannya akan menerima sumbangan RM100 seorang, yang keseluruhan peruntukan RM66,000 pada tahun ini.

“Berapa banyak pun duit yang kita ada tentu akan habis kerana kos sara hidup sekarang begitu tinggi dan tidak lama lagi semua kita akan terbeban dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Tetapi, dengan ketekunan kita untuk memastikan kecemerlangan akademik anak-anak kita ini, kita boleh menyimpan keyakinan bahawa kejayaan mereka dalam alam kerjaya suatu hari nanti akan mampu mengubah kehidupan kita supaya lebih baik dari apa yang kita ada pada hari ini,” kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Beliau berkata demikian pada majlis Bantuan Pelajar Temiskin Sekolah-Sekolah Rendah Dan Menengah  Bagi Parlimen Bagan di Dewan Tan Si Eng Chuan Tong di sini baru-baru ini.

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan merangkap ADUN Bagan Jermal) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan turut berucap dan menyampaikan sumbangan kepada murid-murid terpilih daripada pelbagai kaum.

Difahamkan, majlis sumbangan tersebut diadakan tiap-tiap tahun di Parlimen Bagan, sejak 2011 lagi.

Semasa itu, Guan Eng mengeluarkan peruntukannya sebanyak RM55,000 untuk disumbangkan kepada 17 sekolah rendah dan lima sekolah menengah.

“Sejak tahun 2011 hingga 2014, sebanyak RM220,000 peruntukan telahpun diagihkan kepada murid-murid yang dipilih oleh pihak sekolah masing-masing, supaya merekapun ada harapan untuk mengejar kecemerlangan akademik dan mengubah nasib keluarga masing-masing suatu hari nanti,” jelas Guan Eng.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng dalam satu majlis berasingan turut menyampaikan sumbangan pendidikan kepada pelajar-pelajar terpilih di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih yang diwakilinya.    

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nyior, SK Convent, SK St. Mark, SK Kuala Perai, SK Assumption, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent merupakan  antara penerima dari KADUN Bagan Dalam.

Penerima sumbangan dari KADUN Bagan Ajam pula terdiri oleh murid-murid dari SK Bagan Tuah Kechil, SK Mak Mandin, SK Bagan Jermal, SJKC Chuang Hwa Pusat,  SJKC Mak Mandin, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mak Mandin dan SK Bagan Ajam.

Murid daripada SK Sungai Puyu, SJKC Li Hwa, SMK Kampung Kastam, SMK Bagan Jaya dan Sekolah Menengah Jeni s Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Ling Butturworth merupakan akan penerima dari KADUN Sungai Puyu.