30 December 2014

NGO urus rumah perlindungan wajar terima lebih dana Putrajaya, syor MP Bukit Bendera

ZAIRIL Khir Johari (belakang sekali, tiga dari kiri) diiringi Lee Chun Kit (belakang sekali, empat dari kiri) bergambar kenang-kenangan dengan warga Shah Children's Home di sini baru-baru ini.

ZAIRIL Khir Johari (depan, berdiri) berkongsi impiannya supaya Kerajaan Pusat lebih membantu menyalurkan dana kepada kesemua rumah pelindungan di tanah air ini, tanpa mengira warna kulit, keagamaan dan latar belakang politik.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

TANJUNG BUNGAH - Badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan rumah perlindungan kanak-kanak, anak yatim serta orang kurang upaya (OKU) di negara ini sewajarnya mendapat dana sokongan yang lebih secara langsung daripada Putrajaya, sebagaimana di negera-negara maju lain.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata demikian pada Majlis Penyampaian Seragam Dan Kelangkapan Persekolahan Sesi Tahun 2015 kepada 19 anak yatim terpilih yang mendiami Shan Chindren's Home dekat Jalan Mount Erskine di sini baru-baru ini.

"Salah satu cabaran di Malaysia adalah sesetengah NGO yang tampil melaksanakan program amal tidak mendapat sokongan menggalakkan daripada Kerajaan Pusat, terutama berkaitan kebajikan (anak-anak yatim) sendiri.

"Masalahnya, ada yang mahir dan ada yang tidak mahir apabila Kerajaan Pusat cuba membangunkan pusat perkembangan seumpama ini (rumah pelindungan anak yatim).

"Justeru, saya mencadangkan Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan yang lebih kepada sektor swasta seperti NGO amal yang dikenal pasti mahir dalam membangunankan rumah perlindungan sebagai sebuah institusi perkembangan bakat kanak-kanak yang sebenar, dengan syarat ada pemantauan tadbir urus dana daripada Kerajaan Pusat sendiri," ujar Zairil pada majlis tersebut.

Dalam perkembangan sama, Zairil turut mempertikai kewajaran Kerajaan Pusat memberi peruntukan "luar biasa" berjumlah RM711 juta untuk Projek Permata Negara (Permata) yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2015 pada bulan Oktober lepas.

Zairil turut menyumbang sebuah mesin basuh 10 kilogram jenama Samsung kepada rumah anak yatim tersebut, demi memudahkan anak-anak yatim berkenaan menguruskan keperluan hidup masing-masing.

Difahamkan, pemberian barang kelangkapan sekolah kepada lapan murid sekolah rendah dan 11 murid sekolah menengah terpilih daripada rumah pelindungan berkenaan menelan belanja RM1,310, menggunakan peruntukan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bukit Bendera.

Sebelum itu, Pengasas merangkap Pengerusi Penang Shan Children's Home Association, Dr S. Balakrishnan berkata, pihaknya gigih berusaha menjadikan rumah perlindungan tersebut sebagai pusat perkembangan bakat kanak-kanak yang diiktiraf oleh Kerajaan Pusat serta Kerajaan Negeri.

"Kami sangat mengalu-alukan bantuan berupa makanan yang bermutu serta sokongan dana kerana rumah perlindungan di sini sepatutnya lebih berperanan sebagai pusat perkembangan bakat untuk mereka yang terpilih mendiami di sini," jelas Balakrishnan, sambil mengalu-alukan sokongan dana daripada pihak berwajib.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Lee Chun Kit dan Syerleena Abdul Rashid (Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera) turut menyertai majlis sumbangan amal tersebut.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus