1MDB sebagai satu skandal terbesar era Najib dan katalis kejatuhan Najib nampaknya kian menjadi kenyataan.
Laporan polis oleh salah seorang pemimpin UMNO bahagian sendiri dan kabinet turut membincangkan isu ini semasa ketiadaan Najib, adalah perkembangan baru bakal membawa impak yang besar.
Timbalan Ketua UMNO Batu Kawan, Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam laporan polisnya, antara lain memohon siasatan dijalankan mengenai;
a. Pembelian tanah seluas 234 ekar di Air Itam, Pulau Pinang pada harga RM1.38 billion, yang dikatakan melebihi harga pasaran semasa (dari dua pemilik)
b. Pelaburan misteri sebesar US$1.2 billion dalam sebuah syarikat dikenali PetroSaudi International Ltd.
c. Pembelian sebidang tanah dari syarikat Tadman Resources Bhd di Pulau Indah dengan harga RM317 million
d. Pembayaran bunga pinjaman yang lebih tingi dari kadar pasaran
e. Pembayaran yuran kepada Goldman Sachs International yang dikira berlebihan
f. Pembelian aset janakuasa IPP seperti Powertek Energy dan Sanyen Power Sdn Bhd pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran
g. Pelaburan misteri di Pulau Cayman
Rabu lalu, ketika kabinet bersidang tanpa PM yang berada di luar negara, seorang Menteri dilaporkan membangkitkan isu 1MDB . Kabinet yang dipengerusikan oleh Muhyidin selaku TPM, telah mengambil kesempatan membincangkan isu ini.
Ia sudah tentu akan diminitkan dan sekembalinya Najib nanti, beliau pasti akan membaca minit tersebut untuk pengesahan mesyuarat kabinet akan datang. Apa reaksi beliau dalam mesyuarat akan datang?
Mengapa menteri berkenaan berani membangkitkan atau berani mengambil kesempatan ketika ketiadaan PM?
Bagaimana pula perbincangan sulit kabinet mengenai isu ini boleh sampai kepada media?
Tentulah dengan niat yang tertentu.
Tidakkah Najib mula terasa panasnya bahang 1MDB dengan tindakan-tindakan baru ini?
Sama juga dengan keberanian tiba-tiba seorang pemimpin UMNO Bahagian. Bukankah menjelang PAU baru-baru ini, Presiden parti telah mengadakan perjumpaan dengan semua perwakilan dan memberikan penjelasan mengenai 1MDB?
Tidakkah dua perkembangan ini - laporan polis oleh pemimpin UMNO Bahagian dan perbincangan kabinet terjadi serentak?
Terlepas dari apa jua pertimbagan politik pihak-pihak yang terlibat, rakyat negara ini secara keseluruhannya mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan yang terang tidak lain dari PM sendiri mengenai isu ini.
Samada polis berani menyiasat bos tertinggi negara ini atau tidak adalah isu yang lain. Ini adalah ujian terbesar Datuk Zahid selaku Menteri Dalam Negeri.
Beranikah beliau membenarkan polis bertindak profesional dalam isu ini?
Namun, dari dua perkembangan terbaru ini, Najib mestilah berani memberikan penjelasan terbuka.
Siapa pemilik tanah di Pulau Pinang yang dibeli dengan harga (95% lebih mahal?) oleh 1MDB, misalnya.
Isu 1MDB melibatkan jumlah kewangan yang sangat besar. Mewajarkan PM bersikap telus.
Misalnya, bagi tahun kewangan sehingga Mac tahun ini, 1MDB mencatat kerugian sebesar RM 665.3 juta dengan hutang sebesar RM 49.1 billion. Sekalipun 1MDB dikatakan mempunyai aset sebesar RM 51.4 billion, tetapi jumlah aset di atas kertas ini kelihatan lebih besar dengan menggunakan penilaian yang lebih tinggi.
Apa lagi, seperti ditulis oleh TS A Kadir Jasin dalam blognya bahawa 1MDB telah pun memohon dan mendapat kelulusan dari Bank Negara untuk memanjangkan tempoh bagi hutang tak berbayar (non performing loan) dari tiga bulan kepada enam bulan.
Jika ini benar, memang 1MDB sudah mengerang kesakitan walaupun usianya sangat muda.
Najib bukan sahaja perlu memberikan penjelasan terbuka terhadap semua isu yang dibangkitkan berkait dengan 1MDB, tetapi juga bersedia memberikan penjelasan dalam siri-siri berikutnya apabila pertanyaan lanjutan dikemukakan nanti.
Lazimnya, sebuah Kertas Putih perlu dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya kepada Parlimen.
Sepanjang menuju penjelasan terbuka itu, saya percaya, pengkritik utama Najib seperti Tun M, sudah pun mempunyai jerangkap samar untuk meletupkan survival politik Najib sebelum PRU yang akan datang.
Husam Musa
13 Disember 2014
No comments:
Post a Comment