Skip to main content

7,458 terima bantuan persekolah ZPP

MOHD. Salleh Man (dua dari kiri) saling berinteraksi dengan pelajar terpilih pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Sesi 2015 daripada Sumber Zakat Peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM - Seramai 7,458 murid terpilih daripada 150 sekolah di negeri ini menerima sumbangan baju seragam serta beberapa kelengkapan lain daripada sumber zakat, untuk sesi persekolahan tahun depan.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, lebih ramai pelajar sekolah menengah dan rendah mendapat sumbangan pada kali ini disebabkan Zakat Pulau Pinang (ZPP) mendapat lebih banyak sumber daripada pembayar zakat fitrah serta zakat komersial.

"Umat Islam bertambah ramai membayar zakat kepada kita (ZPP) kerana keyakinan mereka pada usaha kita mengagihkan sumber zakat kepada asnaf-asnaf yang layak.

"Tahun-tahun akan datang, in sya Allah lebih banyak murid akan menerima sumbangan daripada sumber zakat seperti hari ini jika jumlah kutipan tahunan zakat kita bertambah," ujar Mohd. Salleh pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan 2015 ZPP Peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Dewan Millenium di sini baru-baru ini.

Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata pihaknya berharap ZPP berjaya memungut RM90.5 juta pada tahun ini, memandangkan sebanyak RM80.07 juta berjaya dikutip pada tahun lepas.

Sebelum itu, Pengurus Besar ZPP, Dr. Azman Abdul Somat menjelaskan, RM3.2 juta daripada sumber zakat akan diagihkan dalam bentuk kelengkapan persekolahan kepada 15,000 pelajar terpilih sepanjang tahun 2015.

"Kelengkapan seorang pelajar kita anggarkan lebih RM200 dan waris penerima seharusnya bersyukur kepada Allah kerana terpilih menerima bantuan daripada sumber zakat ini," ujar Azman.

Bekas Mufti Pulau Pinang, Tan Sri Hassan Ahmad, Ustaz Rosli Othman (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan bagi Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, JAIPP) serta beberapa Ahli Lembaga Pengarah ZPP lain turut menyertai majlis tersebut.

ROZITA Mat Ribi (tengah) bersama-sama dua anaknya, Muhammad Shafiq Che Rizal (kiri) dan Ainul Mardhiah Che Rizal (kanan) pada majlis di sini baru-baru ini.

Sementara itu, waris, Rozita Mat Ribi, 32, melahirkan rasa terharu kerana kedua-dua anaknya, Muhammad Shafiq Che Rizal, 9, Ainul Mardhiah Che Rizal, 8, turut dipilih menerima bantuan persekolahan daripada sumber zakat.

"Dua kali dah (menerima bantuan dari sumber zakat), iaitu pada tahun ini dan tahun lepas (2013).

"Alhamdulllah, saya bersyukur kerana Sekolah (Kebangsaan Pinang Tunggal dekat Kepala Batas) dan Kerajaan Negeri memberi perhatian pada keadaan anak-anak saya ini," ujar beliau.


Menurut beliau, kesemua empat anaknya bersekolah dan sumbangan tersebut dapat mengurangkan kos persiapan persekolahan pada hujung tahun ini.