Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
BUKIT TENGAH - Kerajaan Negeri tidak pernah menjual bangunan hatta tapak pejabat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dekat Bayan Lepas, sebagaimana dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid.
Menurut Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, tapak pejabat PDC yang dimaksudkan akan dibangunkan secara bersama dengan Temasik melalui sebuah syarikat usahasama di mana pemilikan ekuiti PDC-Temasik adalah 51 peratus - 49 peratus.
"Bangunan PDC tidak dijual kepada pihak pembeli dari luar negeri seperti didakwa (Jahara, ADUN Teluk Air Tawar).
"PDC telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Temasik untuk mewujudkan kerjasama tersebut dan perjanjian usahasama (JVA) dijangka akan ditandatangani tidak lama lagi," ujar Guan Eng dalam Jawapan Bertulisnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, George Town pada 7 November lepas.
Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata perancangan pembangunan di atas tapak tersebut adalah kompleks pejabat untuk menempatkan operasi-operasi 'Business Process Outsourcing' (BPO) yang dijangka melonjak pertumbuhan sektor perkhidmatan dan ekonomi negeri.
Di samping itu, katanya lagi, blok kediaman dan komersial juga dibina untuk menyokong operasi BPO, yang berkonsepkan 'Live, Work, Learn & Play'.
No comments:
Post a Comment