Skip to main content

Pengiktirafan MQA bukti PIDC bermutu - Guan Eng

KETUA Menteri menyempurnakan majlis pecah tanah bagi bangunan baru PIDC, sambil diperhatikan oleh pemimpin negeri serta barisan pentadbiran kolej swasta tersebut di sini baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM - Kolej Pergigian Antarabangsa Pulau Pinang (PIDC) bukan sahaja diiktiraf sebagai kolej pergigian swasta pertama di dalam negara yang diberi akreditasi penuh lima tahun oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), malah, yang pertama akan diberi kedudukan lima bintang oleh Kementerian Pendidikan di bawah program My Quest.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbir PIDC, di bawah pimpinan Pengarah Urusannya, Datuk Dr. S. Sharavanan atas pengiktirafan tersebut.

Kejayaan itu, katanya lagi, diharap akan turut menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini, kelak.

"Komitmen serta dedikasi pihak pengurusan serta kakitangan akademik dalam memastikan graduan dari institusi ini adalah mereka yang mempunyai standard tinggi.

"Pulau Pinang memang menjadi tempat yang menarik untuk pelabur yang boleh dipercayai seperti ini.

"Dengan keluasan lantai kira-kira 170, 000 kaki persegi, premis baru itu akan menjadi mercu tanda baru dan pasti akan memberi manfaat kepada rakyat di kawasan Parlimen saya dari Bagan, " ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis pecah tanah dan pembinaan bangunan baru PIDC, yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM55 juta.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap ADUN Perai, Prof. P. Ramasamy dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekharan turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PIDC, Datin Kamatchi Sharavanan, Prof. Dr. Sabarinathan (Dekan PIDC), dan beberapa pentadbir kolej swasta tersebut.

Guan Eng memberitahu, bangunan yang bakal dibina itu akan menyediakan 200 kerusi pergigian, sebuah jabatan dianogsis serta dewan bedah oral.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk, infrastruktur tambahan untuk bahagian pentadbiran, sebuah kompleks auditorium, bilik penyelidikan, makmal serta bilik kuliah.

Direkodkan, kira-kira 224 doktor muda yang graduan daripada PIDC kini mendapat pekerjaan dalam perkhidmatan awam, dan sebahagian bersar mereka turut mengendali klinik swasta selepas tamat tempoh perkhidmatan wajib berwajib.