27 October 2014

Naik harga minyak menjelang Deepavali 'berita buruk' – MP Bukit Mertajam

SIM Chee Kiong (tiga dari kiri) menyantuni salah seorang penerima baucar RM50 sempena sambutan Deepavali di bekas Estat Alma, sambil diiringi oleh Lee Khai Loon (dua dari kiri) dan P. David Marshel (paling kiri) di sini, Sabtu lepas.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

MACHANG BUBUK – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Sim Chee Keong menyifatkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen menjelang perayaan Deepavali sebagai berita buruk bagi seluruh rakyat, khususnya penganut agama Hindu.

"Tahun lepas menjelang Deepavali, dia (Kerajaan Pusat) menaikkan harga gula, tahun ini, sebelum Deepavali dia (Kerajaan Pusat) menaikkan harga petrol pula," ujar Steven Sim pada program menziarahi dan memberi baucar RM50 kepada 52 penganut Hindu terpilih kepada wartawan di sini, Sabtu lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Alma, Mejar (B) Mustafa Ariffin turut sertai program turun ke desa berkenaan.

Menurut Chee Keong, dasar kerajaan pusat menaikkan harga minyak sekaligus akan meninggalkan kesan berantai seperti kos sara hidup melambong naik.

Justeru, baginya, pemberian baucar RM50 kepada semua penerima adalah lebih diperlukan daripada mengadakan majlis rumah terbuka seperti tahun-tahun sebelum ini.

"Selalunya mereka datang ke rumah terbuka yang kita anjurkan, tetapi, kali ini kita pula ke rumah mereka.

"Saya rasa pemberian baucar bernilai RM50 ini lebih baik kerana penerima boleh membeli apa yang benar-benar mereka perlukan," ujar Chee Keong.

Salah seorang penerima terpilih, D. Devasagayam (kanan), 60, berkata, kesemua wakil rakyat Pakatan Rakyat seharusnya lebih tegas memprotes kenaikan harga minyak di Dewan Rakyat, supaya dasar Kerajaan Pusat lebih menguntungkan rakyat.

"Kalau boleh harga minyak ini tidak naik kerana apabila harga minyak naik, harga barang-barang keperluan rumah semua pasti naik (seperti) harga gas masak pun naik, ujar beliau.
Nada sama turut diluahkan oleh M. Nadharaja (kiri), 37, pekerja swasta.

"Semua barang sudah naik harga dan kita nak raya (Deepavali) cukup terasa susah.

"Gaji tak naik tetapi harga barang terus naik...lagi baik pembaziran dihentikan dulu daripada potong subsidi minyak," jelas Nadharaja.

Bagi R. Mageswari (kanan), 48, yang merupakan suri rumah sepenuh masa pula, beliau berkata perbelanjaan sempena perayaan Deepavali tahun ini lebih dikawal ekoran kenaikkan harga minyak serta barang keperluan asasi.

"Apabila semua barang keperluan rumah cukup mahal, memang terasa tak syok raya (Deepavali) tahun ini," ujar Mageswari.

Mageswari turut berharap pemimpin Kerajaan Negeri memujuk Kerajaan Pusat supaya melaksanakan dasar-dasar yang lebih menguntungkan rakyat terbanyak.

Terdahulu, harga runcit terbaru seliter RON95 dan diesel mulai 3 Oktober lepas masing-masing naik menjadi RM2.30 dan RM2.20.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus