13 October 2014

Guan Eng anggap Bajet 2015 'indah khabar dari rupa'

LIM Guan Eng (tengah) menyempurnakan majlis menanam anak pokok teduhan specis Tecoma, sambil diperhatikan oleh dif kehormat lain di Taman Kimsar dekat Perai pada Sabtu lepas.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 
PERAI – Tawaran 10 peratus pinjaman tanpa faedah untuk mereka yang menyertai Skim Rumah Pertamaku sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2015 baru-baru ini disifatkan bak 'indah khabar dari rupa' untuk rakyat terbanyak, termasuk  di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata, tawaran itu secara logiknya sudah tentu sukar dinikmati memandangkan bank-bank masih mengamalkan syarat yang ketat ke atas pemohon pinjaman perumahan.

"Kalau pinjaman 90 peratus pun sangat sukar diluluskan oleh bank, bagaimana untuk mereka memohon 10 peratus pinjaman tanpa faedah ini (daripada Kerajaan Pusat)...peribahasa Melayu sebut ini 'indah khabar dari rupa'," tegas Guan Eng dalam satu sidang media, selepas merasmikan Majlis Pelancaran Cadangan Pengindahan Lanskap Taman Kimsar pada Sabtu lepas.

Menurut Guan Eng, Bajet 2015 sepatutnya mengembalikan semula amalan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (Developer Interest Bearing Scheme, DIBS) serta memperluaskan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) supaya pembeli kali pertama mampu memiliki rumah mampu milik antara harga RM72,500 hingga RM400,000.

Tambah Guan Eng, Bajet 2015 sewajarnya turut memperkenalkan Skim Milikan Bersama (Shared Ownership Scheme, SOS) sebagaimana yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri, demi memudahkan pembeli kali pertama perumahan awam dan rumah mampu milik rakyat.

"Bank Negara perlu mengembalikan semula skim-skim ini untuk pembeli kali pertama bagi membolehkan rakyat memiliki rumah sendiri," tegas Guan Eng.

Difahamkan, DIBS dimansuhkan selepas diumamkan dalam Bajet 2014 oleh Kerajaan Pusat, serta turut disahkan dalam jawapan lisan menteri berwajib di Dewan Rakyat pada 16 Jun lepas.

Pinjaman SJKP yang diluluskan di seluruh negara pula untuk jaminan pinjaman rumah kos rendah (LC) dan kos sederhana rendah (LMC) adalah berjumlah RM180 juta sahaja, sungguhpun disyor RM3 bilion meliputi pembeli pertama untuk semua kategori perumahan.

Manakala, SOS pula adalah hartanah akan dimiliki secara bersama dengan kerajaan di mana pinjaman kerajaan akan diberi sehingga 30 peratus harga hartanah tanpa riba kepada golongan berpendapatan rendah.

Dengan pinjaman perumahan tanpa riba sebanyak 30 peratus daripada Kerajaan Negeri, pembeli rumah kos rendah hanya perlu meminjam 70 peratus nilai hartanah, sekaligus membolehkan lebih ramai layak mendapat kelulusan pinjaman bank.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng memberitahu Bajet 2015 seakan langsung tidak meletakkan Pulau Pinang dalam arus pembangunan nasional, melainkan mengulangi rancangan pemajuan projek keretapi berkembar dari Ipoh ke Padang Besar sedia ada, yang akan melalui kawasan Butterworth di negeri ini.

"Tiada apa-apa untuk diulas kerana Pulau Pinang telah tidak mendapat apa-apa," kata Guan Eng kepada wartawan.

Majlis Pelancaran Cadangan Pengindahan Lanksap Taman Kimsar yang dirasmikan oleh Guan Eng itu turut disertai Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy, P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan), Jusni Ismail (Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah), Datuk Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP) dan Kept. (B) Ir. Anuar Yahya (Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang).

Hadir sama, empat Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Tan Cheong Heng, M. Satees, P. David Marshel dan Omar Hassan, serta wakil Lion Club (penaja CSR)

Guan Eng dalam ucapannya memberitahu bahawa projek yang akan dijalankan secara berperingkat serta tertakluk pada penajaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut dianggarkan menelan kos pembinaan sebanyak RM467,134.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus