Skip to main content

Untung tender terbuka, pasar awam siap ikut jadual - Lim Guan Eng

WAJAH baru Pasar Awam Perkampungan Juru semasa majlis perasmian pembukaan di sini baru-baru.

(dari kiri) SOON Lip Chee, Rozali Mohamud, Maimunah Mohd. Shariff, Ong Chin Wen, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng dan P. Kasthuriraani pada majlis tandatangan perasmian pembukaan Pasar Awam Perkampungan Juru di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pembinaan Pasar Awam Perkampungan Juru yang menelan belanja RM1,398,000 dalam tempoh enam bulan dan siap pada 30 Mei lepas menjadi satu lagi rekod Kerajaan Negeri mengotakan janjinya demi keselesaan hidup rakyat di negeri ini.

“Ada orang kata rakyat Malaysia tak biasa dengan tender terbuka, tetapi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuktikan bahawa amalan tender terbuka ini berjaya dibuat dengan baik sekali.

“Hari ini, sekali lagi kita buktikan bahawa Kerajaan Negeri tepati janji...tender dipanggil secara terbuka dan diberikan kepada (pamaju) Sifar Bina,” ujar Guan Eng pada Majlis Perasmian Pembukaan Pasar Awam Perkambungan Juru di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulistan dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Ong Chin Wen (Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah), Soon Lip Chee (ADUN Jawi) dan P. Kasturiraani (Ahli Parlimen Batu Kawan) turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai  (MSPS) Maimunah Mohd. Sharif dan Setiausahanya, Sr. Rozali Mohamud, serta Shafiqah Shobha Abdullah (Ahli Majlis MPSP).  

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, amalan tender terbuka yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri ternyata lebih memberi peluang kepada syarikat kontraktor yang berwibawa untuk memajukan projek-projek berkaitan Kerajaan Negeri.

“Sungguhpun nama syarikat ‘sifar’, tetapi, yang penting syarikat ini ada sifat kelemahan dan boleh siapkan projek ini seperti dijanjikan.

“Tender terbuka yang diamalkan menunjukkan kita berkebolehan dan mampu untuk melaksanakan projek-projek bagi bersama-sama anak-anak syarikat (daripada) anak-anak negeri tempatan,” ujar Guan Eng lagi yang juga ADUN Air Putih.

Difahamkan, Kerajaan Negeri mensasar siap projek baik semula 11 pasar awam di sekitar Pulau Pinang menjelang tahun 2014, selain, baik pulih kecil 23 pasar awam lain dengan peruntukan RM5 juta.

Dalam tempoh tahun 2014, tiga buah pasar awam dinaik taraf menggunakan RM1.134 juta bajet Kerajaan Negeri.

Manakala, Pasar Awam Perkampungan Juru pula terdiri oleh 88 unit gerai jualan, iaitu 25 petak am, 26 petak makanan, tujuh petak runcit, sembilan gerai jualan sayur, sembilan gerai jualan ikan, dua gerai jualan ayam, empat gerai buah-buahan dan enam gerai daging khinzir.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut menjelaskan, kos kontrak pembersihan pasar serta kompleks makanan bagi tahun 2013 berjumlah RM1,800,336, dan MPSP akan mengambil alih semua kerja pembersihan tersebut mulai bulan September tahun ini.

“Di dalam bajet 2014, MPSP telah memperuntukan sebanyak RM3,833,871.12 iaitu terdapat kenaikan sebanyak 113 peratus.

“Kenaikan ini adalah kerana kita menggunakan tenaga kerja rakyat tempatan untuk kerja-kerja pembersihan,” jelas Guan Eng lagi.