Skip to main content

RM50 juta industri Jerman labur di P.Pinang

LIM Guan Eng (lima dari kiri) menerima cenderamata daripada Marcus Parche (empat dari kiri) pada majlis di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUTTERWORTH - ZF Lenksysteme GmbH melalui syarikat ZF Steerings Malaysia melabur RM50 juta dalam tempoh dua tahun akan datang demi membina kilang baru bagi menghasilkan bahagian sistem stereng berkuasa elektrik (EPSc) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berharap, syarikat pembuat sistem stereng kenderaan yang berpengkalan Jerman itu akan terus kekal di negeri ini, selepas sejumlah RM45 juta dilaburkan sejak tahun 2013 untuk operasi ZFSM.

"ZF menjadikan Malaysia dan Pulau Pinang sebagai pusat transformasi teknologi dan lokasi teknologi berprestasi tinggi.

"Pulau Pinang dipilih kerana ketersediaan kami tenaga kerja berbakat, bandar bersih yang sesuai untuk didiami, hijau, selamat dan sihat, tadbir urus yang baik serta komitmen ke arah mentransformasikan Pulau Pinang menjadi sebuah bandaraya antarabangsa dan pintar," jelas Guan Eng pada majlis pembukaan kilang tersebut di sini baru-baru ini.

Pengerusi ZF Steerings Malaysia, Dr. Marcus Parche turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Kaunselor Ekonomi Kedutaan Republik Persekutuan Jerman - Kuala Lumpur, Dr Wolfram Spelten, dan Dato 'Herbert Weiler (Konsul Kehormat Republik Persekutuan Jerman - Pulau Pinang), serta Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Maimunah Mohd. Shariff.

Guan Eng dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada ZF Steerings Malaysia kerana mengambil 100 peratus pekerja daripada warganegara.

"Ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan sebagai ZF Steerings sebagai membuktikan bahawa syarikat itu tidak memerlukan buruh asing untuk bekerja di kilang ini," ujar Guan Eng lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan, bangunan baru tersebut meliputi 1,150 meter persegi, dengan keseluruhan pekerja seramai 427 orang.

Dijangkakan, operasi di kilang baru itu mampu melonjak 40 hingga 60 peratus lagi produktiviti ZF Steerings Malaysia.

Sebelum itu, Marcus menjelaskan Malaysia menyumbang kira-kira 10 peratus kepada jualan kumpulan industri tersebut.

Tambah beliau, EPSc ini cukup untuk memenuhi permintaan pembuat kereta antarabangsa mulai tahun 2017, termasuk di pasaran Asia.

"Dengan teknologi EPSc itu, ZF Lenksysteme berkembang portfolio produk dengan memberi tumpuan kepada keperluan khusus segmen kereta kompak.

"Sistem stereng kereta yang agak kurus untuk mengimbangi beban (agar lebih) rendah dijangka akan menjana permintaan yang lebih besar, terutama di Asia," ujarnya.

Ujar Parche lagi, EPSc adalah segmen perniagaan baru kumpulan itu, yang pertama kali dilancarkan di China pada tahun lepas, diikuti, India dan Malaysia.

Menurut beliau, 80 peratus daripada pengeluaran di kilang Malaysia akan dieksport ke Jepun, China, Amerika Syarikat dan Eropah.

Manakala, katanya lagi, baki 20 peratus akan dibekalkan ke pasaran tempatan  seperti pembuat kereta nasional Proton dan Perodua.

ZF Steerings Malaysia sejak ditubuhkan pada tahun 1984 mulai membangun, mengeluarkan serta membekalkan stereng gear manual dan stereng gear berkuasa hidraulik, untuk pasaran automotif domestik dan luar negara.

ZF Lenksysteme dalam usaha sama 50:50 kepenting antara Robert Bosch GmbH dan ZF Friedrichshafen AG, merupakan peneraju mahir serta pemimpin teknologi dalam bidang peralatan stereng, yang mempunyai lebih 13,000 pekerja dengan janaan jualan bernilai lebih daripada empat bilion Euro pada 2013.