19 September 2014

RM1.6 juta bina bangunan baru SAR, Anwar puji P.Pinang

ANWAR Ibrahim (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pendidikan kepada pelajar terpilih sambil diiringi Norlela Ariffin (paling kiri), Mohd. Rashid Hasnon (tiga dari kiri) dan Mansor Othman (paling kanan) di sini baru-baru ini.

ANWAR Ibrahim diiringi Mohd. Rashid Hasnon menyempurnakan majlis pecah tanah pemajuan sebuah bangunan baru SAR Maahad Tarbiyyah di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PENANTI - Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) meluluskan peruntukan RM1.6 juta bagi membina bangunan tiga tingkat baru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Maahad Tarbiyyah, yang terdiri oleh enam bilik darjah serta dewan serba guna di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datu Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya memuji pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana fokus pada pembangunan pendidikan, selain, giat mengembangkan potensi ekonomi negeri.

“Selepas Kerajaan Negeri diperintah oleh Y.A.B. Ketua Menteri, saya dimaklumkan peruntukan untuk SAR baru ada, sebelum itu semua disekat sungguhpun anak-anak kita sangat perlu bantuan serta infrastuktur pendidikan seumpama ini.

“Walau apapun perbezaan politik di peringkat pentadbiran, saya puji Y.A.B. Ketua Menteri kerana fokus pada pemberian pelbagai insentif pendidikan tanpa mengira kaum dan kepercayaan,” ujar Anwar dalam ucapan perasmiannya, sebelum menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Bangunan SAR Maahad Tarbiah di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berucap mewakili Guan Eng, manakala, Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berucap mewakili Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

Hadir sama, Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Datuk Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP) , Datuk Mansor Othman (Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal), Dr. Norlela Ariffin (Ahli Dewan Undang Negeri Penanti) dan Ustaz Ibrahim Mat (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan SAR Maahad Tarbiah).

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyokong hasrat pentadbiran Guan Eng memohon Kerajaan Pusat membiayai pemajuan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil pertama di Malaysia, di atas sebidang tanah dekat kawasan Parlimen Bagan yang akan disumbangkan oleh Kerajaan Negeri sendiri.

“Kerajaan Pusat sepatutnya tidak perlu menolak permohonan ini kerana ini pendidikan untuk anak-anak kita, baik berbangsa India atau beragama Islam...Ini Malaysia, yang lebih adil,” tegas Anwar Ibrahim, yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia di depan hampir 300 hadirin.

Difahamkan, Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2008 hingga sekarang meluluskan peruntukan antara RM1.5 juta hingga RM1.75 juta kepada 102 SAR di negeri ini.

Itu, tidak termasuk peruntukan serupa yang diberikan kepada Sekolah Mubaligh dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), pada tiap-tiap tahun.

Kerajaan Negeri turut menyediakan program Sumbangan RM100 kepada Pelajar Emas, RM1,000 Siswa Daftar Masuk Universiti Awam, serta Bantuan Pendidikan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Sebelum itu, Ibrahim menjelaskan, jawatankuasanya hampir putus asas kerana permohonan pemajuan SAR itu daripada pihak berwajib pada era 1980-an dan 1990-an beberapa kali gagal.

Bagaimanapun, beliau melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri hari ini atas kelulusan permohonan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus