17 September 2014

Protes 50 pemuda melayakkan PAS pembangkang terkuat

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2010 dahulu pernah mengajak akar umbi parti asabiah itu untuk mempertahan Putrajaya hingga titisan darah terakhir.

"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!" tegas Najib dalam ucaptamanya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Ke-61, tahun 2010.

Najib, bercakap begitu tentulah sebagai persiapan mendepani musim pilihan raya umum ke-13 (berlangsung 5 Mei 2013).

Pun begitu, ucapan sebegitu jarang diluahkan dalam parti asabiah yang begitu mendominasi struktur pentadbiran Kerajaan Pusat yang berpangkalan di Putrajaya.

Ucapan Tun Razak atau Tun Hussein Onn hatta Tun Dr Mahathir Mohamad dalam PAU dulu bukan sahaja dinanti-nanti oleh akar umbi parti, bahkan rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu sendiri.

Pertama, kerana Umno dilihat parti yang paling kuat berbanding komponen lain dalam Barisan Nasional.

Kedua, ucapan Tun Razak, Tun Hussain dan Tun Dr Mahathir sendiri dilihat lebih berkisar pada apa lagi hak Melayu (sebenarnya perihal kroni mereka) yang mesti dikocakkan dalam PAU.

Ketiga, inti gagasan ucaptama presiden Umno itu akhirnya dijadikan semangat dalam pemurnian dasar serta bajet Kerajaan Pusat, serta negeri-negeri yang dikuasai Umno.

Apapun telahan kita, UMNO dalam tiga era kepemimpinan berkenaan dilihat gagah, antaranya kerana kepemimpinan serta perwakilan ghairah berbincang apa yang wajar untuk rakyat Malaysia, khususnya Melayu.

Umno hari ini nampak sedikit sumbang, kerana samboyan "mempertahan Putrajaya hingga titisan darah terakhir" semacam mengajak akar umbi parti asabiah berkenaan mempertahan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri Umno.

Sampai ada yang mencebik, "Apabila Umno menang (PRU13), Najib senang, Rosmah kenyang."

Di bilik berita The Malaysian Insider semasa itu, Dr. G. Manimaran atas kedudukannya sebagai Editor Bahasa portal tersebut bertanya kepada saya, apakah masej penting di sebalik mesei Najib itu - "mempertahan Putrajaya hingga titisan darah terakhir"?

Sebagai wartawan paling muda yang sudah tentu mentah, saya berseloroh, "Najib hilang kawalan..."

Menurut Dr. Manimaran, pemikiran Umno sudah berubah pada cara berfikir pembangkang, sungguhpun di tangannya masih ada 'anak kunci' Putrajaya.

Katanya lagi, insiden arakan kepala lembu berdarah, isu kalimah Allah, pengeboman gereja dan beberapa tindak-tanduk subversif menyerlahkan pemikiran Umno sudah cenderung pada cara berfikir pembangkang.

Berbeza dengan cara berfikir Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh (mendiang), Lim Guan Eng, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad dan Dr Dzulkefly Ahmad, yang semasa itu masing-masing dilihat giat membawa mesej integriti serta keamanan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Dari tunjuk-ajar Dr. Manimaran itu, fahamlah saya bahawa nak lihat titik jatuh bangun sebuah parti politik pada masa depan, memadai dengan melihat cara berfikir, karektor kepemimpinan serta tindak-tanduk akar umbi satu-satu parti itu hari ini.

Menjelang PRU13 lagi, saya banyak kali menyebut Kerajaan Kedah akan 'melonsoq' (tumbang) kerana PAS gagal menangani konflik pentadbiran.

Cara mengurus Kerajaan Negeri lebih menakutkan daripada cara PAS mengurus parti dulu dan kini.

'Anak kunci' pintu Kerajaan Negeri masih ada di tangan kepemimpinan PAS semasa itu, tetapi, cara pemikiran pemimpin tertentu di peringkat negeri dan Pusat semacam sudah berfikir secara pembangkang.

Jika PAS berfikir secara kerajaan memerintah, parti masa depan itu akan cepat menjernihkan polemik kepemimpinan di negeri berkenaan.

Ini kerana, cara berfikir memerintah di antaranya adalah berusaha mewujudkan kestabilan pentadbiran, kerana itu yang paling rakyat hasratkan.

Di Selangor sekarang pun, semacam nak 'melonsoq' seperti di Kedah. Mudah-mudahan tidak.

Semua Kerajaan Negeri ada cabaran masing-masing.

Di Pulau Pinang, segelintir pemimpin PAS Negeri dalam satu sidang media pernah mengugut keluar Pakatan Rakyat kerana tidak berpuas hati dengan cara memerintah Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Cuma, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berjaya cepat mengekalkan suasana politik stabil, dengan kelebihan kondisi pelaburan, tadbir urus integriti dan sebagainya, dengan sokongan langsung daripada Anwar dan Tuan Haji Mohamad Sabu.

Wartawan muda seperti saya selalu dinasihat supaya cermat melihat semua kemungkinan yang bakal terjadi pada masa depan berdasarkan bacaan kontektual dari karektor serta tindak tanduk yang telahpun berlaku hari ini.

Terbaru, 50 pemuda beramai-ramai keluar dewan Muktamar mereka sebagai memboikot ucapan Mohamad atau 'Mat Sabu', yang juga Timbalan Presiden PAS.

Aksi mereka sama luar biasa dengan samboyan Najib supaya 'mempertahan Putrajaya hingga titisan darah terakhir', dulu.

Bekas Presiden PAS Datuk Fadhil Mohd Noor dalam siri-siri ucapannya tidak pernah mengajak ahli parti mempertahan kedudukannya, sebaliknya fokus memperjuang hak rakyat serta memartabatkan Islam.

PAS hari ini cukup luar biasa. Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini sampai terpaksa mempertahan diri sendiri, selepas didakwa mengfitnah calon parti kawan.

Tidak cukup dengan itu, Abdul Hadi yang masih berkuasa sebagai Presiden PAS dipertahan kedudukannya oleh 50 pemuda yang menyokong pemimpin istimewa itu.

Jangan esok lusa, rakyat Malaysia faham 'Rahmat Ke Seluruh Alam' yang digagaskan dalam PAS adalah pertahan kekudusan Hadi pula.

Ini nasihat.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus