MUHAMMAD Suhail Rosidi (empat dari kiri) bersama pasukan debat Sekolah Menengah Al-Islah Pinang Tunggal, Kedah, yang menjuarai Pertandingan Debat Sekolah-Sekolah 2014 baru-baru ini. |
PENDEBAT terbaik Pertandingan Debat Antara Sekolah-Sekolah Malaysia 2014 yang dimuat naik di laman Youtube lebih sebulan lalu rupa-rupanya adalah anak jati Pulau Pinang.
Muhammad Suhail Rosidi, 17, adalah juara pertandingan debat terbuka anjuran bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), yang disertai barisan pendebat terbaik daripada sekokah asrama penuh, sekokah swasta, sekolah agama dan sekolah harian.
Menjejaki kejayaan itu, Muhammad Suhail semasa ditemui melahirkan rasa syukur kepada Ilahi atas kejayaan yang tidak disangka-sangkanya.
"Syukur, Alhamdulillah. Tak ,sangka kali pertama sertai pertandingan terbuka itu, pasukan kami dipilih sebagai johan.
"Dipilih sebagai pendebat terbaik pun sebenarnya tidak disangka-sangka, berasa sangat bersyukur," ujar Muhammad Suhail semasa diwawancara oleh fotojurnalis, ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru ini.
Muhammad Suhail merupakan anak sulung, dan mempunyai seorang adik perempuan, yang muda setahun daripadanya.
Ayahnya, Ustaz Rosidi Hussain, pendakwah bebas, juga pengamal undang-undang serta masih ditaklif sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Kreativiti di Sekolah Swasta
Muhammad Suhail menerima pendidikan awal di pra sekolah Sekolah Tahfiz Al-Islah dekat Tasik Gelugor, yang tidak jauh dari rumahnya di Taman Bertam, Kepala Batas.
Beliau kemudiannya menuntut di Sekolah Al-Islah dekat Pinang Tunggal, Kedah, pada peringkat rendah dan menengah.
"Kalau ada masa, saya akan menemani ayah berkuliah.
"Dari situ, saya mulai minat ilmu keagamaan serta aktiviti dakwah," ujar Muhammad Suhail.
Di Sekolah Menengah Al-Islah, Muhammad Suhail dikenali sebagai salah seorang pelajar yang gigih, serta aktif dalam ko-kurikulum.
Karismanya dalam memimpin pergerakan pelajar serta berpidato paling menyerlah hingga mencuri perhatian guru-guru yang mendidik beliau.
"Saya sekolah swasta yang aktiviti kreativiti cukup ditekankan, (maka) saya pilih menyertai Kelab Debat di sekolah menengah sejak awal lagi sebab minat.
"Minat sedalam mana sekalipun, tanggungjawab sukses dalam akademik di kelas tetap nombor satu, ini pentingnya fokus dan pengurusan masa," jelas Muhammad Suhail.
Muhammad Suhail menyimpan cita-cita untuk menjadi jurutera bidang aeroangkasa.
Mentor
Hobi Muhammad Suhail banyak, antaranya fotografi dan membaca buku.
Selain membaca, Muhammad Suhail cukup menghayati cara debat pendakwah terkenal dunia, Dr. Zakir Naik, yang turut digelar juga sebagai 'Ahmed Deedat muda" di youtube.
"Istimewanya Dr. Zakir Naik ini antaranya bahasa yang digunakan cukup mudah, gagasan hujah yang digunakan pun cukup rasional.
"Bagi saya, Dr. Zakir Naik berjaya merasionalkan persoalan-persoalan agama yang begitu rumit pada zamannya, dan saya anggap dia mentor yang banyak mempengaruhi cara debat saya," jelas Muhammad Suhail lagi.
Di rumah, jelas Muhammad Suhail, pemikirannya senantiasa diasak oleh ayahnya sendiri, tak kiralah sama ada mengenai isu kenegaraan hinggalah isu fiqh yang berlegar rumit dalam dunia kontemporari umat Islam.
"Bakat.....? Mungkin terikut-ikut cara ayah, selain, yang banyak memberi nasihat.
"Untuk menjadi pendebat yang terasuh, saya sendiri diasuh membuat persiapan mental, penyelidikan, ketenangan jiwa, pengetahuan am dan banyak lagi," ujarnya lagi.
Muhammad Suhail berkata, prinsip hidupnya adalah do the best and lets shah do the rest.
Mahu jadi Ahli Politik?
Walaupun masih dibangku sekolah, Muhammad Suhail selalu mengikuti sesi perbahasan secara online, sama ada di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Beliau mengaku bahawa beliau cukup kagum dengan beberapa Ahli Majlis Menyuarat Dewan tertentu yang begitu bermaklumat serta dinamik dalam menyertai sesi perbahasan.
"Bagi saya, ketinggian dan kemuliaan sesebuah institusi seperti itu antara lain tergantung pada mutu perbahasan oleh Ahli Majlis Menyuarat Dewan sendiri.
"Ramai tak capai standard, mungkin kerana tidak terlatih seperti di beberapa negara moden...sesi perbahasan acapkali berlangsung tanpa fakta, dibuai emosi politik yang sukar dikawal.
"Tapi, saya cukup bangga dengan beberapa ahli politik yang dilihat begitu dinamik dalam berdebat, menguasai sesi perbahasan dengan hujah, ilmu dan rasional," jelas Muhammad Suhail lagi.
Harapan
Seperti anak muda lain, Muhammad Suhail turut menyimpan impian agar masa depan Malaysia adalah lebih gagah untuk anak muda kelak.
"Malaysia yang gagah memerlukan anak muda yang rasional, bermaklumat, kreatif, berkebolehan untuk berhujah dan berkongsi idea secara rasional.
"Seperti debat, saya pun memerlukan asuhan, (maka) anak muda juga perlukan asuhan yang gagah jika mahu Malaysia yang lebih gagah pada masa depan," jelas Muhammad Suhail lagi.
No comments:
Post a Comment