SUHU awal pagi tadi di Robert Camb Garden dalam kawasan Canberra, iaitu ibu negara Australia kira-kira serendah 6°C.
Saya demam, batuk kering dan mata kanan berbengkak kecil kerananya, sungguhpun telah menelan ubat berwajib malam tadi.
Saya, Subuh tadi, memilih untuk tayammum, sungguhpun ada air suam-suam panas tempat kami bermalam, di sini.
Ini kerana, rasa bimbang air memudaratkan diri bukan sahaja sudah cukup untuk saya memilih tayammum.
Bahkan, memadai juga dengan tayammum, meskipun jika saya mimpi bersetubuh dengan gadis Australia hingga terkeluar air mani.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"...dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan bertayamum dengan tanah - debu yang bersih..." [Surah al-Ma’idah: 6]
Ibn Jarir at-Thabari RH berkata:
“Jika anggota badan kamu sakit, cedera, patah atau mengalami sesuatu yang tidak mampu sedangkan ketika itu berada dalam bermukim bukannya musafir, bertayammumlah menggunakan debu tanah yang suci.” [rujuk Jami’ al-Bayan, Jil.8, hal.388]
‘Amru bin al-‘Ash RA berkata:
“Aku telah bermimpi (hingga keluar air mani) pada suatu malam yang sejuk peperangan Dzat al-Salasil. Aku tidak sanggup mandi kerana jika aku mandi, pasti aku jatuh sakit. Lalu aku bertayammum kemudian terus solat subuh bersama para sahabatku.
"Lalu, mereka mengadu kepada Nabi s.a.w. Jawab baginda: Wahai ‘Amru! Apakah kamu mengerjakan solat bersama sahabat-sahabatmu dalam keadaan berjunub? Lalu aku menceritakan menghalangku daripada mandi junub.
"Kemudian aku berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman dalam surah al-Nisa’, ayat 29 berbunyi: 'Janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya allah amat Mengasihani kamu semua'.
"Lalu Rasulullah SAW ketawa, tetapi baginda tidak berkata apa-apa (sama ada melarang atau menyuruh).”
[Hadis Riwayat Bukhari, Ahmad Mundzir, Daruquthni, at-Thabari, dan al-Hakim. Dipersetujui Az-Dzahabi akan kesahihannya, Ibnu Hajar menyatakan bahawa sanadnya kuat, dan turut disahihkan oleh al-Albani di dalam al-Irwa’]
Al-Nawawi RH berkata:
“Antara pengajaran yang dapat diambil daripada hadis ini ialah pertama, boleh bertayammum bagi sesiapa yang bimbang memudharatkan diri apabila menggunakan air walaupun dia memiliki air. Kedua, boleh orang yang berjunub bertayammum. Ketiga, tidak perlu mengulangi solat bagi musafir sesiapa yang bertayammum ketika musafir.” [rujuk
Majmu’)
Berkata, Ibn Hajar RH lagi:
“Berdasarkan hadis ini, ia menunjukkan bahawa boleh bertayammum bagi sesiapa yang ditimpa kemudharatan jika menggunakan air sama ada kerana kesejukan dan sebagainya." [rujuk Fathul Bari, jil. 1, m/s. 454]
Wallahu 'alam.
ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang
Robert Camb Garden, Canberra | 7.00 pagi waktu tempatan
No comments:
Post a Comment