Skip to main content

Kes denggi di P.Pinang meningkat 161.5 peratus

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Bilangan kes denggi di Pulau Pinang sejak bulan Januari hingga 27 September lepas mencatatkan peningkatan sebanyak 987 kes atau 161.5 peratus menjadi 1,598 kes, berbanding tempoh sama pada tahun lepas yang direkodkan hanya 611 kes.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dalam kenyataannya hari ini memberitahu, lima kematian akibat denggi turut direkodkan pada tahun ini, berbanding dua kematian pada tahun lepas.

Justeru, beliau mengingatkan seluruh warga Pulau Pinang agar meningkatkan langkah-langkah pencegahan, termasuk menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedis di kawasan kediaman masing-masing.

"Pada ketika ini, terdapat 12 lokaliti wabak terkawal dilaporkan di P.Pinang iaitu di lokaliti Mutiara Idaman, Apartment Sri Wonder, Taman Harmoni, Taman Gottlieb dan Jalan Cantonment di George Town, daerah Timur Laut, Flat Bukit Gedong dan Persiaran Mahsuri di daerah Barat Daya, Bagan Lebai Tahir, Taman Aman Ceri dan Kampung Perlis di daerah Seberang Perai Utara, Taman Desa Damai di daerah Seberang Perai Tengah dan Kampung Sungai Udang di daerah Seberang Perai Selatan. 

"Dua lokaliti wabak tak terkawal dilaporkan iaitu di Apartment Kota Emas di George Town daerah Timur Laut dan Flat Teluk Bahang di daerah Barat Daya.

"Satu lokaliti hotspot dilaporkan di Greenlane Heights di George Town, daerah Timur Laut," jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dalam satu kenyataan bertulis.