05 September 2014

Satu mangsa MH17 disemadi di perairan P.Pinang, dua di Kek Lok See

WARIS meriba bekas abu mayat mendiang Sanjid Singh Sadhu, yang dibawa dari SMK Machang Bubuk dekat Bukit Mertajam ke rumahnya di sini, baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Abu mayat Sanjid Singh Sadhu, 41, anak kapal MH17 yang terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), tiba di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubok sekitar jam 2.10 petang, 2 September lepas.

Manakala, abu mayat Loh Yuan Hwa, 55, dan isteri, Fan Suun Po, 60, pula tiba di lapangan terbang lama Bayan Lepas lebih awal, sekitar jam 10.15 pagi, pada hari sama.

Ketiga-tiga bekas abu mayat diarak keluar daripada dua helikopter berasingan dengan penuh adat ketenteraan, dan disambut sebagai acara berkabung rasmi peringkat negeri.

Dari dekat, rata-rata yang hadir berpakaian serba hitam, saling berkongsi rasa sedih dengan tragedi bersejarah tersebut.

Kelihatan, waris mangsa yang kian sebak menyaksikan majlis memberi penghormatan terakhir di kedua-dua lokasi, cuba ditenangkan oleh beberapa Exco Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng, Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I), Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), dan Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) turut hadir pada kedua-dua majlis berkabung itu.

Chow Kon Yeow, Jagdeep Singh Deo, Phee Boon Poh, Dr Afif Baharudin, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Chong Eng antara Exco Kerajaan Negeri yang hadir.

Hadir sana, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Dr Wee Kar Siong, mewakili Kerajaan Pusat.

Abu mayat mendiang Yuan Hwa dan isteri, Suun Po akan disemadikan di Tokong Kek Lok See dekat Air Itam.

Abu mayat Sanjid pula pada 3 September lepas dibawa dari kediaman keluarganya di Bukit Mertajam, ke jeti Jabatan Laut Wilayah Utara dekat Batu Uban, sebelum disemadikan di perairan negeri, berhampiran Pulau Rimau.

Bapa mendiang Sanjid, Jijar Singh, 71, isteri mendiang Tan Nee Gok, 43, dan anak tunggalnya, Hans Singh Sandhu, 10, serta sanak saudara lain turut mengiringi bekas abu mayat pramugara tersebut ke lokasi persemadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri, A. Thaiveegan dalam kenyataannya dilaporkan berkata, bapa mendiang Sanjid mengucapkan terima kasih kepada polis dan semua yang terlibat dalam proses membawa pulang abu mayat anak beliau ke tanah air, sehingga selamat disemadikan.

Tambah Thaiveegan, Jijar menyifatkan penghormatan yang diberikan terhadap anaknya itu sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Bapa mendiang mengatakan ini adalah satu penghormatan yang luar biasa. 

"Pertama kali orang awam diberikan penghormatan sedemikian rupa," jejas Thaiveegan.

Yuan Hwa, Suun Po dan Sanjid adalah antara 298 penumpang serta anak kapal yang terkorban apabila pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine, pada 17 Julai.

Sejumlah 43 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu dan setakat ini 32 mangsa tragedi warga Malaysia telah dikenal pasti dengan 31 daripadanya dibawa pulang ke tanah air.

Guan Eng pada Majlis Berkabung MH17 Peringkat Negeri dalam satu kenyataan menyifatkan insiden itu sebagai tragedi pembunuhan beramai-ramai, serta menuntut keadilan dunia untuk kesemua keluarga mangsa.

Istiadat berkabung dengan bendera separuh tiang selama tiga hari turut dilangsungkan pada 18 Julai lepas di perkarangan foyer bawah Komtar, yang menempatkan Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri.

"Ini merupakan pembunuhan zalim beramai-ramai kerana tiada faktor (atau) masalah teknikal.

"Kita (Kerajaan Negeri) tuntut keadilan dunia untuk semua mangsa dalam tragedi ini," tegas Guan Eng dalam majlis berkabung tersebut, sambil menuntut keadilan dunia turut diberikan ke atas semua mana tragedi serupa membabitkan pesawat MAS MH370 yang masih dijejaki hingga kini.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus