01 September 2014

138 pelajar terima Biasiswa Kecil Negeri

PENERIMA Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang bergambar kenang-kenangan dengan Dr. Afif Bahardin di Auditorium MPSP di sini, petang tadi. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

SEBERANG JAYA - 138 pelajar terpilih daripada lima sekolah di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya menerima sumbangan RM101,280 Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dalam ucapannya berharap semua pelajar terpilih berkenaan memanfaatkan biasiswa masing-masing sebaik mungkin.

"Kerajaan Negeri hanya mampu membantu melalui pemberian biasiswa seumpama ini kepada mereka yang layak.

"Tetapi, masa depan tiap-tiap pelajar sebenarnya boleh dipilih atau diubah dengan syarat mereka sendiri tekud memburu kejayaan di sekolah mulai hari ini,” ujar Dr. Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan di sini, petang tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Abdul Jalil Che Ros di Auditorium Kompleks Ibupejabat MPSP Bandar Perda di sini.

Difahamkan, seramai 23 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Jaya menerima biasiswa berjumah RM16,680, diikuti, SMK Permatang Rawa (35 orang untuk RM25,800), SMK Pauh Jaya (27 orang untuk RM19,320), SMK Tun Hussein Onn (35 orang untuk RM29,280) dan SMK Bandar Perda (13 orang untuk RM10,200).

MUHAMMAD Ikhwan Hakimi (kanan) bersama-sama ibunya, Norazliza Hamidon. 

Sementara itu, Muhammad Ikhwan Hakimi, 17, pelajar dari SMK Pauh Jaya yang ditemui kemudian melahirkan penghargaan atas sumbangan tersebut.

SIDHARTHA Sham Hari.
Menurut beliau, Pejabat ADUN Seberang Jaya yang menguruskan permohonan biasiswa tersebut, selepas beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 7 Januari lepas.

“Saya berasa sangat terharu, terima kasih kepada pejabat YB (Dr. Afif) kerana membantu proses permohonan biasiswa ini dulu,” jelas Muhammad Ikhwan, diiringi ibunya, Norazliza Hamidon, 42.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Sidhartha Sham Hari, 16, pelajar dari SMK Permatang Rawa.

“Ayah saya sudah meninggal dunia (manakala) mak saya sudah hilang pekerjaan tetap. Biasiswa ini cukup bermakna bagi pelajar terpilih seperti saya,” ujar pelajar berkenaan.

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang membela pendidikan pelajar terpilih di negeri ini.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus