Skip to main content

Rumah Terbuka Aidilfitri bukti penduduk Kg. Pmtg. Tok Subuh cekal hadapi risiko diusir 8 Ogos ini

LEE Khai Loon (dua dari kanan) dan isteri (paling kanan), diiringi Steven Sim Chee Keong (berbaju Melayu putih) dan Zolkifly Md. Lazim (berkemeja hijau) menyampaikan angpow raya kepada anak-anak keluarga Kampung Permatang Tok Subuh di sini, petang tadi. 
STEVEN Sim Chee Keong (berbaju Melayu putih) menyampaikan ucapan serta motivasi supaya menggandakan sabar serta terus berdoa kerana doa orang yang dizalimi tiada hijab di sisi Allah. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM - Warga penduduk Kampung Permatang Tok Subuh tak kira tua muda dan anak-anak keluar beramai-ramai pada petang tadi bagi memeriahkan anjuran Rumah Terbuka Aidilfitri bersama-sama Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, sungguhpun jangkaan penghakiman akhir (summary judgment) dimuktamadkan di Mahkamah Sesyen Butterworth adalah pada 8 Ogos ini.

Steven, ahli politik muda DAP berkata penduduk wajar membulatkan tekad untuk mengfailkan rayuan ke peringkat Mahkamah Tinggi jika ketetapan Hakim Puan Nabisha Ibrahim berpihak pada tuan tanah, Distinct Class Sdn. Bhd..

"Kalau kita tewas pada 8 Ogos ini, kita akan rayu di mahkamah dan akan lawan supaya tuan tanah memberikan apa yang sepatutnya penduduk di sini dapat.

"Kita juga akan terus berdoa kepada Tuhan supaya melembutkan hati tuan tanah kerana doa orang yang dizalimi adalah tiada hijab di sini Tuhan," ujar Steven pada majlis keraian tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Stevan Sim Chee Keong, Hamidah Che Embi (Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Kepentingan Penduduk Asal Kampung Permatang Tok Subuh) serta penasihat badan bertindak Jab Samat turut berucap pada majlis tersebut.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) merangkap peguam pembelaan penduduk, Ho Leng Hong turut berucap pada majlis itu.

Hadir sama, Pengerusi Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah Selesa (BAGAS) merangkap AJK PAS Pulau Pinang, Zolkifly Md. Lazim serta Mohd. Ikhwan Nasser Mohamad Isa (Ketua AMK Cabang Bukit Mertajam).

Pada majlis itu, Steven turut menyumbang sumbangan Aidilfitri sebanyak RM500 untuk aktiviti badan bertindak, manakala Khai Loon menyampaikan angpow raya untuk kanak-kanak di sini.

Terdahulu, Zolkifly Md. Lazim dalam satu kenyataan berasingan baru-baru ini mensyor Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) supaya mendedahkan rekod ketuanpunyaan tanah Kampung Permatang Tok Subuh.


DI BAWAH ANTARA WARNA WARNI RUMAH TERBUKA AIDILFITRI KAMPUNG PERMATANG TOK SUBUH BERSAMA STEVEN SIM CHEE KEONG