29 August 2014

Permudahkanlah solat-mu, wahai isteri muda cantik jelitaku...

SITI Hajjar Hassan solat secara duduk mengadap arah yang dianggap arah qiblat secara dzonni (sebab mengadap qiblat adalah salah satu syarat sah solat) di wad 8 Hospital Seberang Jaya.

SUNGGUH bertuah umat Rasulullah SAW, dianugerahkan lima waktu solat fardu sahaja di dalam waktunya:

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." [Surah An-Nisa': 103]

Mudahnya agama Islam, sampai Allah menganugerahkan keringanan (rukhsah) sebagai rahmat untuk hamba-Nya.

"...yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan..."[Surah Al-Baqarah: 178]

Dalam solat pun ada begitu banyak rahmat.

Rahmat dalam melaksanakan ibadah khusus itu pula tidak dapat tidak sebagaimana ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bukan sesuatu amalan yang diada-adakan.

Ini berasaskan kaedah usul dalam fiqh ibadah yang menyebut:

Al-aslu fi al-ibadaat at-tahrim

“Hukum asal ibadah adalah haram (sampai adanya dalil yang memerintahkannya)”.

Atas maksud itu, Rasulullah SAW sendiri telah menjelaskan kaedah ibadah solat yang sebenar, ketika sakit.
Daripada Imran bin Hasin (R.A.), adalah aku mengidap buasir, maka aku bertanya Rasulullah SAW dari hal solat. Maka berkata Rasulullah SAW (yang bermaksud): “Solatlah dengan berdiri, kalau tidak kuat maka duduklah , kalau (masih) tidak kuat, maka, berbaringlah dengan posisi mengiring.
[Riwayat Imam Bukhari]

Mudahnya ibadat solat bagi mereka yang bermusafir, di antaranya adalah boleh menghimpunkan (jamak) dan memendekkan bilangan rakaat (qasar) kecuali solat Subuh dan Maghrib.

"Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa 'mengqasarkan' (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir." [Surah an-Nisaa': 101]

Sebenarnya, boleh dihimpun solat (jamak) atas sebab kesusahan sakit (musyaqqah), tetapi tidak bolehlah qasar jika tiada sebab musafir.

Ini berdasarkan kaedah usul dalam fiqh ibadah, yang menyebut:

Al-aslu fi al-jam'i al-musyaqqatu

"Asal hukum menghimpunkan solat adalah kesukaran."

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan, maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar." [Riwayat Al-Hakim]

Atas sebab musyaqqah juga, seseorang boleh memilih untuk tayamum berbanding wudhu’ dalam beberapa kondisi:

1. Ketiadaan air yang mencukupi untuk wudhu’ atau mandi.

2. Air yang ada hanya mencukupi untuk keperluan minuman binatang yang dihalalkan, sekalipun keperluan itu pada masa akan datang.

3. Sakit yang jika terkena air boleh mengancam nyawa atau anggota badan atau melambatkan sembuh.
Firman Allah SWT yang bermaksud:

"...dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur." [Surah Al-Maidah:6]

Di Hospital, Hajjar Hassan yang sakit di Hospital Seberang Jaya kini turut jamak solat Zuhur-Asar pada hujung waktu Asar, lalu, terus jamak Maghrib-Isyak apabila masuk sahaja waktu Maghrib, dalam satu wudhu' ataupun tayamum.

"...Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur." [Surah Al-Maidah:6]

Permudahkanlah solat-mu, wahai isteri muda cantik jelitaku...

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus