Skip to main content

Mujahid kata 'Perang Mulut' serlahkan PAS kuat, dinamik

Cakap-Cakap
MAJLiS jamuan selepas Mesyuarat PAS Kawasan Bukit Gelugor malam tadi turut berbincang mengenai krisis Menteri Besar Selangor yang didakwa mengoncang kuat struktur parti, khusus autoritatif Majlis Syura Ulamak (MSU).

Anggota MSU akhirnya seakan dilihat jahil perihal organisasi PAS apabila mendahului mesyuarat PAS Pusat, bak Mahkamah Rayuan termaklum membuat keputusan sebelum mahkamah sesyen memulakan perbicaraan.

Dinamik & Kekuatan
Yang di-Pertua PAS Kawasan, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dalam ulasannya berkata PAS ada dinamik tersendiri serta kuat, sungguhpun banyak pihak percaya bahawa perbezaan pendapat kali ini pasti akan memecahkan parti.

"Banyak pihak percaya PAS akan pecah kali ini, tetapi keputusan akhir dalam mesyuarat semalam jelas tidak begitu.

"Di sini PAS dilihat dinamik, kerana perbezaan pendapat secara tajam yang secara logik tentu akan memecahkan PAS, tetapi akhirnya menguatkan iltizam semua pihak untuk PAS kukuhkan Pakatan (Rakyat)," jelas Mujahid, yang juga AJK PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar.

Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang, Zolkifly Md. Lazim antara AJK PAS negeri yang hadir.

Baik Buruk
Polemik isu Menteri Besar Selangor yang masih membara sehingga kini, kalau tanya kepada sesiapa pun, anggota PAS tidak selesa dengan polemik yang berlaku ini.

Tak kiralah yang menyokong pendirian peribadi Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mahu Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor atau yang membangkang Presiden PAS berkenaan, perbezaan pendapat ini sudah barang tentu semua kita tidak suka.

Al-Quran pun berkata, peperangan pun manusia tidak suka, antaranya kerana menghilangkan jiwa.

Tetapi, peperangan itu boleh membawa sesuatu yang lebih baik daripada hilang jiwa, antaranya kondisi kezaliman hatta mungkin perhambaan sesama manusia boleh dihentikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." [Surah Al-Baqarah: 216]

'Ibrah (Pengajaran)
Ayat Al-Quran di atas menceritakan buruk baik peperangan secara membunuh.

Sesungguhnya, baik buruk daripada 'perang mulut' dalam organisasi PAS tidaklah salah mengambil pengajaran daripada baik buruk kewajipan perang secara membunuh sebagaimana pada ayat 216 daripada Surah Al-Baqarah.

Lagi pun, kaedah usul tafsir turut menyebut:

Al-'Ibrah bi umumi al-lafzi la khususan bi ada-sababi

Maksud: Pelajaran itu diambil daripada lafaz umum ayat Al-Quran, bukanlah dari sebab khusus turun ayat Al-Quran itu.

Sekiranya kita faham pripenting mencari 'ibrah daripada peperangan serta membunuh pada maksud nas, kita juga boleh mencari baik buruk 'perang mulut' dalam PAS kini.

Di bawah, adalah pendapat peribadi BJ Faqar mengenai baik buruh di sebalik 'perang mulut' dalam PAS kini:

Keburukan 'Perang Mulut'
1. Mencalar imej PAS dalam kalangan rakyat, khususnya pengundi Selangor.

2. Mencetuskan perasan saling curiga semasa ahli, serta PAS bersama pemimpin Pakatan Rakyat.

3. Mendedahkan kelemahan PAS untuk dimanipulasi oleh Umno, melalui akhbar Utusan, Berita Harian, TV3 dll.

4. Menghakis wibawa MSU, yang selama ini dilihat 'serba tahu' dalam mendepani cabaran serta memacu hala tuju parti.

5. Mengkaburkan fokus PAS untuk membuat persiapan asasi pilihan raya dalam merampaskan mandat pemerintahan daripada Umno BN, melalui PRU14 nanti.

Kebaikan 'Perang Mulut'
1. Menyerlahkan sikap ahli PAS yang pro Pakatan Rakyat, serta yang pro Umno dll.

2. Membuka mata ahli dan pemimpin (khususnya MSU) bahawa pri penting mengetahui ilmu keperlembagaan parti, serta amalan pentadbiran PAS.

3. Membuka mata semua pihak bahawa musyawarah serta kolektif lebih autoritatif dan kuat, berbanding pendirian peribadi seorang presiden PAS.

4. Menguji amanah sesama ahli PAS, serta setiakawan PAS dengan DAP dan PKR dalam saling mengukuh Pakatan Rakyat.

5. Menambahkan lagi amarah ahli kepada Umno serta pemimpin pro Kerajaan Perpaduan (UG) yang daripada ghairah untuk bersama Umno.

Setuju?