26 July 2014

Sokongan peribadi Abdul Hadi bukan pendirian rasmi PAS, kata Mohamad Sabu

BUKTI saling mengasihi Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Haji Mohamad Sabu walaupun kedua-dua tonggak PAS ini kadangkala berbeza pendapat.

SOKONGAN peribadi Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi yang mahu Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor bukan keputusan rasmi parti, kata timbalannya Mohamad Sabu.

Mohamad, yang mesra dipanggil 'Mat Sabu' menjelaskan, keputusan rasmi berhubung polemik kepemimpinan di negeri Pakatan Rakyat itu akan diputuskan secara rasmi oleh PAS, selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Tambah beliau, PAS dijadualkan bermesyuarat mengenai semua perkara berbangkit tersebut pada 10 Ogos depan
 
"Itu pandangan peribadi, kita akan mesyuarat 10 Ogos...10 Ogos mesyuarat (dan) kita patuh pada keputusan mesyuarat," tegas Mohamad dipetik portal berita Antarapos hari ini.

Semalam, Abdul Hadi mempertahankan Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor kerana beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

"Insya-Allah itu sikap saya dan saya harap seluruh pimpinan PAS akan bersama dengan keputusan ini walaupun ada pandangan berbeza.

"Saya sudah dengar semua hujah, kumpulkan sebelum akhirnya saya dapati majoriti kalangan akar umbi PAS bersetuju Khalid dikekalkan atas konsep amanah yang ditunaikannya," katanya ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di rumahnya di Rusila di Marang, Terengganu.

Abdul Hadi berkata, hasil penelitian dan kaji selidik dilakukan beliau sendiri melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS mahupun pihak luar, didapati majoriti Selangor masih bersetuju Abdul Khalid dikekalkan sebagai menteri besar namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat Rabu lalu menerima cadangan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid  dan mencalonkan presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Tiada apa, saya nak raya dulu.  Tunggu selepas hari raya," katanya.

Abdul Hadi dalam kenyataannya turut berkata, alasan pihak yang mahu menukar menteri besar Selangor tidak kukuh dan beliau secara peribadi tidak setuju kerana melihat Khalid tidak terlibat masalah besar.

"Kalau beliau (Khalid) terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna duit Selangor, itu ya (sememangnya) kita boleh tukar.

"Tapi, kalau alasan lain, itu kita boleh urus tetapi bukandengan cara tukar menteri besar dan biarlah dia habiskan tempoh penggal.

"Isunya adalah tunaikan amanah pemimpin. Kita dapati Khalid tidak sampai kepada peringkat khianat terhadap amanah ini, adalah salah sekiranya kita turunkan beliau," katanya.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus