01 July 2014

MPSP kuatkuasa kadar baru sewa pasar awam, kompleks jaja 1 Sept.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menguatkuasa kadar baru sewa gerai di 65 kompleks makanan dan 28 pasar awam mulai 1 September depan memandangkan jumlah kutipan kini sebenarnya tidak cukup untuk menampung kos operasi dan sewaan berwajib.

Yang di-Pertuanya Maimunah Mohd. Sharif bagaimanapun berkata, kadar sewa baru itu masih antara terendah berbanding yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan yang lain.

“Contoh untuk gerai tertutup (berbumbung tak berkunci), kadar baru RM6 dari (kadar asal) RM3 sehari, ini pun air dan api kita (MPSP) bayar. Pembersihan dan kerja-kerja baik pulih pun kita buat berdasarkan aduan penyewa

“Kadar sewa baru ini ditetapkan berdasarkan kepada jenis jualan, lokasi gerai dan sambutan pelanggan, tidak langsam seperti dulu,” ujar Maimunah kepada wartawan di Kompleks Ibupejabat MPSP di sini baru-baru ini.


Tiga Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Cheong Eng, Rezal Huzairi Md. Zaki, Ahmad Kaswan Kassim turut hadir pada sidang media itu.

Maimunah menjelaskan, jumlah kutipan sewa gerai bagi tahun 2010 sebanyak, RM5.1 juta, diikuti, RM3.4 juta (2011), RM3.3 juta (2012) dan RM3.4 juta (2013).

Manakala, jumlah perbelanjaan berwajib pula, katanya, RM2.3 juta bagi tahun 2010, diikuti RM2.2 juta (2011), RM4.7 (2012) dan RM4.4 juta (2013).

“Kutipan bagi tahun 2010 agak tinggi kerana termasuk bayaran tertunggak tahun sebelumnya...(manakala) perbelanjaan meningkat sebab kerja-kerja menaik taraf pasar, serta sebab kos operasi dan utiliti meningkat,” jelas pegawai berwajib MPSP pada sidang media yang sama.

Cheong Eng pula memberitahu, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mampu lagi menangguh kos utiliti dan penyelenggaraan disebabkan kesan berantai pada langkah Kerajaan Pusat menaikkan harga tarif elektrik dan sebagainya.

Kadar sewa bulanan lama antara RM30 hingga RM120, berkuatkuasa pada 1 Januari 1992.

Mesyuarat Majlis Penuh pada 23 Mei lepas meluluskan kadar sewaan bulanan baru, antara RM60 hingga RM240.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng sebanyak dua kali bermula pada tahun 2009 mengabaikan syor Putrajaya untuk menaikkan cukai pintu di seluruh Pulau Pinang.

Ini kerana, beliau pernah berkata, Kerajaan Negeri tidak mahu menambah lagi kos sara hidup rakyat yang berpunca oleh langkah Putrajaya menaikkan harga minyak, tarif elektrik hingga harga barang dan inflasi melambung naik.



No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus